KUALA LUMPUR – Kadar pengangguran negara melonjak kepada 778,800 atau kenaikan 5% pada bulan April lalu.
Menurut Survei Tenaga Buruh (STB), jumlah tersebut merupakan lonjakan sebanyak 48.8% berbanding tahun sebelumnya.
Penutupan operasi bagi sebahagian besar perniagaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan hingga April 2020 telah memberi kesan kepada kehilangan pekerjaan dan menyebabkan pencari kerja merasakan sukar
untuk mendapatkan pekerjaan.
Pada April 2020, penduduk bekerja menurun 156, 400 orang (-1.0%) tahun ke tahun kepada 14.93 juta orang.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, penduduk bekerja yang paling terjejas adalah di sektor pembuatan dan perkhidmatan iaitu penginapan dan makanan & minuman; kesenian, hiburan & rekreasi dan perkhidmatan lain seperti pusat kecantikan dan salon.
Dari segi bulan ke bulan, jumlah penduduk bekerja menurun 299,000 (-2.0%) berbanding bulan sebelumnya (Mac 2020: 15.23 juta orang).
Berdasarkan survei ini, bekerja sendiri adalah sebanyak 2.59 juta orang yang sebahagian besarnya terdiri daripada peniaga/ pengusaha kecil-kecilan (pasar tani/pasar malam/ katering/ gerai/ freelancer) pekebun kecil, pengusaha pelancongan termasuk pengusaha aktiviti umrah & ziarah dan lain-lain.
Katanya, kumpulan pekerja ini terdedah kepada risiko kehilangan pekerjaan dan pendapatan berikutan PKP.
Berdasarkan survei ini, PKP telah memberi kesan kepada 4.87 juta penduduk bekerja yang tidak bekerja pada April 2020.
Walau bagaimanapun, kumpulan ini tidak dikategorikan sebagai penganggur kerana mereka akan kembali semula bekerja.
Bilangan tenaga buruh pada April 2020 mencatatkan pertumbuhan marginal sebanyak 0.6 peratus (+99,100 orang) kepada 15.71 juta orang, pertumbuhan terendah sejak September 2014.
Dari segi bulan ke bulan, jumlah tenaga buruh menurun 0.8 peratus (-130,700 orang) berbanding Mac 2020, tambahnya.
Oleh itu, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada April 2020 menurun 0.5 mata peratus kepada 68.1%.
Penurunan KPTB pada bulan tersebut disebabkan oleh aliran keluar tenaga buruh untuk keluar dari tenaga buruh.
Mohd Uzir berkata, kali terakhir Malaysia mencatat KPTB pada kadar 68.1 peratus adalah pada Disember 2017, yang maa KPTB lelaki dan wanita masing-masing turun 0.4 mata peratus dan 0.5 mata peratus kepada 80.3 peratus dan 55.1 peratus
berbanding Mac 2020.
”Secara keseluruhannya, semua sektor ekonomi terkesan sepanjang tempoh PKP Fasa 2 dan Fasa 3 yang berlaku pada April 2020 terutamanya perkhidmatan tidak penting,” ujar beliau.
Pasaran buruh Malaysia pada Mei 2020 dijangka terus terjejas berikutan PKP Bersyarat (PKPB) mulai 5 Mei 2020 kerana perniagaan masih belum beroperasi sepenuhnya.
Dalam tempoh ini, syarikat akan cenderung mengecilkan saiz pekerja mereka untuk meringankan beban kos operasi walaupun telah diramalkan pengurangan dalam pendapatan perniagaan mereka. PKP
Pemulihan (PKPP) bermula pada 10 Jun 2020, yang mana pengaktifan semula perniagaan untuk lebih banyak sektor dan perjalanan antara negeri dibenarkan dijangka memacu perniagaan dan mendorong peningkatan pasaran kerja, terutama dalam industri berkaitan pelancongan. – MalaysiaGazette
PN perintah rakyat senang