MIRI – Seorang warga Britain dilaporkan meninggal dunia selepas mengadu tidak sihat ketika dikuarantin di sebuah hotel di sini Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata, Thomas Holmes, 48, meninggal dunia lebih kurang 3.30 petang di Bahagian Kecemasan Hospital Miri.
“Si mati telah dihantar ke Hospital Miri menggunakan ambulans selepas mengadu tidak sihat kepada anggota Medic Shell yang juga berada di hotel tersebut.
“Ujian swab COVID-19 telah dilakukan ke atas si mati pada tarikh kematian dan telah disahkan negatif,” kata Lim dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, bedah siasat akan dilakukan ke atas mayat Holmes dalam masa terdekat.
Pengurus projek Tai Crest Resources Sdn Bhd itu tiba di Miri pada 4 Jun lalu dari Kuala Lumpur atas urusan kerja dan telah ditempatkan di hotel itu untuk dikuarantin selama sembilan hari.
Seorang pengurus syarikat itu di sini yang berusia 40 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri pada 4.49 petang hari ini selepas dimaklumkan ketuanya dari ibu pejabat di Kuala Lumpur mengenai kematian Holmes pada lebih kurang 11 pagi Sabtu lalu.
Menurut Lim, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
— BERNAMA