Home Nasional Isa mahu sangkal semua tuduhan rasuah

Isa mahu sangkal semua tuduhan rasuah

Peguam Tan Sri Isa Samad, Datuk Salehudin Saidin (kanan) bercakap kepada media selepas keputusan tuduhan pecah amanah dan rasuah berjumlah RM3 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mahu  menyangkal sembilan tuduhan menerima rasuah sebanyak RM3 juta bagi pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. (FICSB)

Oleh itu, Isa akan memberi keterangan bersumpah selepas diperintahkan  Mahkamah Tinggi untuk membela diri hari ini, demikian kata peguam belanya, Datuk Salehuddin Saidin.

“Untuk sembilan pertuduhan di bawah SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), mahkamah mengatakan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melepasi prima facie maka pihak pembelaan kena menyangkal anggapan yang telah diperuntukkan di bawah undang-undang tersebut.

“Disebabkan itu, Tan Sri perlu memberikan keterangan di mahkamah nanti untuk mematahkan segala anggapan mengatakan beliau telah terima wang sogokan seperti mana pertuduhan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas prosiding keputusan di Mahkamah Tinggi selesai.

Memberi keterangan bersumpah bermakna Mohd Isa akan dikenakan pemeriksaan balas oleh pihak pendakwa.

Mohd Isa menghadapi sembilan pertuduhan rasuah iaitu menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel, iaitu ahli lembaga Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, menerusi individu bernama Muhammad Zahid Md Arip, sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB bagi RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai, 2014 dan 11 Disember 2015.

Setiap pertuduhan rasuah itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.- MalaysiaGazette