Home Nasional PKP secara pentadbiran di Taman Langat Murni, Taman Langat Utama tamat

PKP secara pentadbiran di Taman Langat Murni, Taman Langat Utama tamat

Kawat besi dipasang bagi mengawal laluan keluar masuk kawasan Taman Langat Murni berikutan Perintah Kawalan secara Pentadbiran untuk mencegah penularan wabak Covid-19 di Kuala Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 03 JUN 2020.

KUALA LANGAT – Arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran di Taman Langat Utama dan Taman Langat Murni, Bukit Changgang di sini, ditamatkan hari ini.

Pegawai Tanah dan Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim berkata ia ditamatkan pada kira-kira 11 pagi ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia selesai melakukan ujian saringan COVID-19 terhadap semua 4,697 penduduk di kedua-dua kawasan berkenaan, katanya pada sidang media di pusat operasi kawalan secara pentadbiran itu, di sini hari ini. Turut hadir Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Azizan Tukiman.

Mohd Jusni berkata daripada keputusan saringan yang diperoleh ke atas kesemua penduduk di situ, jumlah individu didapati positif COVID-19 kekal sembilan orang dengan tujuh adalah warga tempatan manakala masing-masing seorang warga Nepal dan Thailand dan mereka sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Pelaksanaan PKP secara pentadbiran dikenakan sejak 2 Jun lepas di kedua-dua taman perumahan itu berikutan wujudnya kes positif COVID-19 membabitkan 20 pekerja pembersihan warga asing yang menginap di kawasan berkenaan.

— BERNAMA