Home Nasional Lapan ditahan sedang leka berparti ganja

Lapan ditahan sedang leka berparti ganja

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib bercakap pada sidang media berkaitan kejayaan sempena Op Lejang Khas Bersepadu di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 16 JUN 2020.

SHAH ALAM – Sekumpulan lapan individu yang leka berparti sambil menghisap ganja ditahan dalam satu serbuan polis di sebuah unit rumah di I-Soho, I-City di sini baru-baru ini.

Dalam serbuan Op Lejang Khas Bersepadu kira-kira jam 1.45 petang itu, pihaknya telah menahan lima lelaki Melayu, dua wanita Melayu dan seorang lelaki Iban.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kejayaan itu hasil serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Shah Alam.

“Kesemua sembilan suspek yang ditahan berusia di antara 24 hingga 31 tahun. Polis juga menemui plastik lut sinar dengan aluminium mengandungi satu ketulan mampat dedaun kering syaki dadah jenis ganja seberat 275 gram,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Baharudin berkata, saringan ujian air kencing terhadap kesemua suspek mendapati hanya enam sahaja positif dadah jenis ganja dan dua lagi negatif.

“Semakan rekod jenayah terhadap kesemua suspek juga mendapati tiada rekod jenayah lampau,” katanya.

Kesemua suspek telah dituduh di Mahkamah Shah Alam di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 12 Jun lalu.

Dalam pada itu, hasil siasatan awal mendapati suspek utama yang berusia 31 tahun itu telah menjalankan aktiviti penjualan dadah jenis ganja itu kira-kira sejak empat bulan lalu.

“Kegiatan mereka ini berselindung di sebalik penyewaan bilik melalui media sosial dan kesemua suspek tidak mempunyai hubungan, hanya kenalan rakan.

“Suspek sebenarnya menganjurkan parti peribadi di mana menyediakan dadah jenis ganja kepada pelanggan yang datang,” jelasnya.

Sementara itu, IPD Shah Alam juga berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis heroin di kawasan flat PPR HicoM, Seksyen 36 di sini pada 14 Jun lalu.

“Dalam operasi itu, seorang lelaki India berusia 27 tahun dalam keadaan mencurigakan ditahan pihak polis di kawasan parkir pangsapuri PPR Hicom.

“Hasil pemeriksaan dalam raga motosikal yang diduduki suspek telah menjumpai sekotak rokok di dalamnya terdapat 10 peket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin.

“Kesemua 10 peket dadah terbabit dianggarkan seberat 16 gram,” katanya.

Katanya, saringan ujian air kencing terhadap suspek mendapati positif dadah jenis methamphetamine.

Suspek juga dibuat semakan rekod jenayah dan mendapati tidak mempunyai rekod lampau.

Suspek telah ditahan reman selama tujuh hari oleh Mahkamah Shah Alam Selangor hingga 21 Jun ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette