SEOUL – Korea Utara menolak tawaran Korea Selatan untuk mengirim utusan khas bagi meredakan ketegangan dua hala yang semakin meningkat.
Sebaliknya, Pyongyang berikrar akan mengerahkan semula askarnya di sempadan tanpa tentera dalam perkembangan terkini yang dilihat lebih menjurus kepada pembatalan perjanjian damai antara Korea.
Pengumuman itu dibuat oleh agensi media KCNA sehari selepas Korea Utara meletupkan pejabat penghubung bersama yang ditubuhkan di sempadan.
Pejabat itu ditubuhkan sebagai sebahagian daripada perjanjian 2018 oleh para pemimpin kedua-dua buah negara ketika ketegangan meletus akibat kiriman risalah propaganda oleh para pembelot di Korea Selatan.
Isnin lalu, Presiden Korea Selatan Moon Jae-in menawar untuk menghantar Penasihat Keselamatan Nasional, Chung Eui-yong dan Ketua Polis, Suh Hoon sebagai utusan khas.
Tetapi Kim Yo Jong, saudara perempuan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dan seorang pegawai kanan parti pemerintah, “secara tegas menolak cadangan yang tidak bijaksana dan mencurigakan,” kata KCNA.
Moon “sangat senang mengirim utusan khas untuk ‘mengatasi krisis’ dan sering mengemukakan cadangan yang tidak masuk akal, tetapi beliau harus memahami dengan jelas bahawa muslihat seperti itu tidak akan berlaku lagi pada kita,” kata KCNA.
“Penyelesaian untuk krisis sekarang antara Korea Utara dan Korea Selatan disebabkan oleh ketidakcekapan dan ketidaktanggungjawaban pihak berkuasa Korea Selatan adalah mustahil dan ia dapat dihentikan hanya apabila ‘harga sebenar dapat dibayar’.
Setakat ini tiada kenyataan dari Moon. – MalaysiaGazette