KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy membabitkan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB bersambung hari ini.
Hari ini juga Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan terlebih dahulu akan mendengar permohonan pasukan pendakwaan yang cuba melakukan sedikit pindaan ‘perkataan’ dalam pertuduhan kes berprofil tinggi ini.
Semalam ketika prosiding ditangguhkan, Ketua Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram mendedahkan tentang hasrat oleh pihaknya meminda susunan kata dalam pertuduhan terhadap Najib.
Peguam utama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, bagaimanapun berkata, pihak pembelaan akan membantah hasrat pendakwaan itu kerana persiapan kes mereka untuk kes tersebut berdasarkan pertuduhan asal.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, ketika ditemui wartawan kemudiannya berkata pindaan itu bagi memperjelaskan lagi pertuduhan.
Ketika diasak berkenaan aspek khusus dalam pertuduhan yang ingin dipinda, Ahmad Akram tidak pula memberitahu secara khusus tentang perkara itu sebaliknya hanya meminta media menunggu prosiding hari ini.
Dalam pada itu, saksi ke-4, bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa mendedahkan kepada mahkamah Tan Sri Ambrin Buang tidak ditekan atau diugut untuk meminda laporan audit 1MDB.
Ali berkata, beliau dan Arul Kanda tidak pernah mengarahkan Ambrin dan bekas Pengarah Jabatan Audit Negara (JAN) Saadatul Nafisah Bashir Ahmad supaya mengubah laporan audit 1MDB.
Malah Ali Hamsa juga mengakui tindakan melakukan rakaman tanpa pengetahuan sesiapa ketika mesyuarat sedang berjalan oleh pegawai JAN sebenarnya langsung tidak beretika kerana tidak meminta kebenaran.
Perbicaraan yang masuk hari ke-11 akan bersambung sebentar lagi. – MalaysiaGazette