Home Nasional Jangan hentam negara –  Najib Razak

Jangan hentam negara –  Najib Razak

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap pada Pelancaran Kumpulan Masa Depan Transformasi Nasional 2050 (TN50) turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Galeri Antarabangsa Alya, Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 26 MEI 2017
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengingatkan semua pihak agar tidak sesekali menghentam negara tanpa mengambil kira aspirasi anak muda hingga boleh menjejaskan masa depan mereka.
Beliau berkata, Malaysia masih mempunyai peluang untuk membina masa depan yang lebih baik dan hebat kepada generasi akan datang menerusi program Transformasi Negara 2050 (TN50).
“Kita jangan sesekali hentam Malaysia, ini adalah negara kita, kita dilahirkan di sini, kita adalah anak Malaysia, kita akan perjuangkan untuk masa depan negara.
“Jangan sesekali hentam Malaysia, kerana kita masih ada peluang untuk buat lebih baik dan lebih hebat, Malaysia (hari ini) adalah sebuah kejayaan kepada generasi masa depan,” katanya ketika melancarkan Kumpulan Masa Depan dan logo rasmi TN50 di Galeri Antarabangsa Alya Kuala Lumpur, Bukit Kiara, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Mengulas lanjut, perdana menteri juga berkata, siri dialog TN50 yang dimulakan dari peringkat anak muda kerana mereka adalah masa depan negara.
“Apa yang dimulakan ini sudah jadi satu gerakan nasional dan ia mesti dimulakan oleh anak muda.
“Kita mahu anak muda tentukan masa depan negara. Tugas kami (kerajaan) untuk merealisasikan masa depan itu kepada anak muda,” jelasnya.
Najib berkata, rakyat Malaysia tidak perlu menunggu sehingga 2050 untuk mencapai aspirasi mereka kerana elemen masa depan sudah pun ada pada masa ini.
“Masa depan sudah ada di sini, tapi masa depan akan berubah malah dengan mendadak sekali.
“Kita mesti bersedia untuk masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette