KUALA LUMPUR – Putrajaya tidak akan membayar sebarang pampasan kepada kerajaan Singapura berhubung penangguhan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Singapura-Kuala Lumpur dan Sistem Transit Rapid (RTS) Singapura-Johor Bharu.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ini kerana penangguhan projek itu adalah persetujuan bersama antara kedua-dua negara.
“Tidak (akan bayar pampasan kepada Singapura). Ini kerana perkara itu telah dipersetujui bersama antara kedua-dua negara,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri 2019, hari ini.
Mei lalu, Azmin berkata Malaysia dan Singapura bersetuju untuk menangguhkan kedua-dua projek itu sehingga 31 Disember tahun ini.
Malah Azmin berkata kedua-dua negara telah mencapai kata sepakat untuk melanjutkan tempoh penangguhan projek itu.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Gombak itu berkata satu pertemuan akan diadakan oleh kedua-dua negara tidak lama lagi bagi membincangkan mengenai perkara terbabit.
“Prinsipnya kami bersetuju bahawa projek ini membawa keuntungan kepada kedua-dua negara. Tetapi kita perlu membincangkan isu teknikal projek ini kerana perlu mengambil masa yang lama.
“Kalau boleh selesaikan keseluruhan perbincangan dalam tiga hingga empat bulan pasti kita akan bertemu lagi. Buat masa ini pasukan teknikal kita akan bertemu selepas Aidilfitri,” katanya lagi.
Sebelum ini, Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk menangguhkan projek HSR sehingga 31 Mei 2020.
Susulan penangguhan tersebut, Malaysia perlu membayar kira-kira 45.1 juta ringgit kepada Singapura. -MalaysiaGazette