Home Nasional Hubungan dua hala dengan beberapa negara pulih dalam tempoh 100 hari

Hubungan dua hala dengan beberapa negara pulih dalam tempoh 100 hari

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

PUTRAJAYA – Malaysia bangga kerana berjaya memperbaiki hubungan dua hala dengan beberapa negara yang sebelum ini dianggap tidak begitu sihat daripada segi dagangan iaitu India, China, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perkembangan positif  itu tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak yang selama ini mempunyai tanggapan tiada sebarang usaha ke arah itu oleh Wisma Putra dan kerajaan semasa.

“Perkara pertama kita bangga ialah untuk memperbaiki hubungan dua hala dengan beberapa negara ini yang sememangnya tidak boleh dinafikan mana-mana pihak di luar.

“Penting untuk kita memberbaiki hubungan kita dengan Arab Saudi, UAE, India dengan China.

“Saya agak-agak terkejut dalam 100 hari ini rupanya bukan nak susah sangat untuk kita bina semula hubugan dua hala dengan kesemua negara berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN dengan Rusia mengenai Covid-19 secara Persidangan Video di Wisma Putra petang tadi.

Menurut Hishammuddin, perkara kedua adalah pihaknya agak sibuk dengan cabaran Covid-19 yang mana ramai rakyat Malaysia yang berada di luar sana terpaksa dibawa balik semula dengan selamat.

“Jumlahnya rakyat kita yang sudah dibawa balik adalah lebih daripada 20,000 dari 70 negara setakat ini dan itu adalah fakta sebenar yang tidak boleh dinafikan orang berhubung apa yang berjaya dilaksanakan Wisma Putra dalam masa 100 hari ini.

“Ketiganya ialah kita dan saya sendiri secara peribadi mempromosikan Wisma Putra dan memperluaskan Wisma Putra sebagai barisan hadapan yang penting dalam usaha kita membina negara bangsa.

“Jadi dalam dunia yang semakin semakin sempit dan tanpa sempadan ini peranan warga Wisma Putra kalau dulu diiktiraf, saya harap ianya akan diiktiraf lebih lagi di bawah kepimpinan saya..insyallah,” tegasnya. – MalaysiaGazette