KUALA LUMPUR – Polis memberi amaran terhadap mana-mana pihak yang mempertikaikan tindakan pihak berkuasa menahan tiga pemandu teksi atas dakwaan menyeludup masuk dan keluar pendatang asing tanpa izin.
Mereka yang didapati berbuat demikian akan berdepan tindakan tegas undang-undang selepas ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Komisioner Datuk Huzir Mohamed berkata, penahanan tiga pemandu teksi dibuat berdasarkan kepada siasatan dan maklumat yang kukuh.
Katanya, aktiviti yang dilakukan ketiga-tiga pemandu teksi itu adalah jenayah penyeludupan manusia yang menjadi ancaman besar kepada keselamatan dan kedaulatan negara.
“PDRM tidak sewenang-wenangnya menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas ) 2012 (SOSMA), ke atas mana-mana individu tanpa sebab dan alasan yang kukuh sepertimana yang dibenarkan oleh undang-undang.
“Kesemua pemandu teksi yang ditahan baru-baru ini merupakan mereka yang terlibat dan bersekongkol dengan sindiket penyeludupan migran secara berterusan dengan menjadikan teksi sebagai ‘transporter’utama bagi menguruskan aktiviti keluar masuk migran secara haram,” katanya dalam kenyataan media malam ini.
Menurut Huzir, tindakan pihak yang mempertikaikan penahanan pemandu-pemandu teksi berkenaan di bawah Akta SOSMA adalah berniat jahat untuk mencemarkan imej dan reputasi PDRM tanpa mengetahui fakta sebenar tentang penahanan mereka.
“Justeru polis menasihati pihak berkenaan untuk tidak mencampur tangan dalam siasatan polis yang masih dijalankan.
“Mana-mana pihak yang mencampuri siasatan polis akan berdepan tindakan undang-undang yang sewajarnya,” tegas beliau