Home Utama Muhyiddin cabar saman Tun M kes tuntutan keahlian Bersatu

Muhyiddin cabar saman Tun M kes tuntutan keahlian Bersatu

Peguam, Rosli Dahlan yang mewakili Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kes samam Tun Dr. Mahathir Mohamad dan enam yang lain berhubung pemecatan keahlian serta jawatan mereka dalam parti di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 18 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan injunksi ad-interim yang telah dikemukakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mengekalkan kedudukan beliau sebagai ahli selain jawatannya selaku Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Selain Mahathir, lima lagi termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang jawatan terakhirnya dalam parti selaku Timbalan Presiden Bersatu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda).

Juga bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (ahli); bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah (ahli) dan bekas Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya (Setiausaha Agung) juga memfailkan permohonan tersebut.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi, Datin Rohani Ismail menetapkan sehingga injuksi utama dapat didengar permohonan injunksi ad-interim untuk kekalkan keahlian dan pemegang jawatan dalam Bersatu ditolak.

Sebaliknya, beliau ketika memutuskan perkara itu dalam kamarnya hari ini telah menetapkan menetapkan 9 Julai ini untuk mendengar permohonan injunksi utama dipohon plaintif untuk mengekalkan status quo kedudukan mereka dalam parti.

Mahkamah menetapkan tarikh sama bagi mendengar permohonan Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk membatalkan saman itu.

Ketika ditemui oleh media di luar, kata peguam yang mewakili Muhyiddin, Rosli Dahlan, affidavit yang dikemukakan oleh Mahathir bersama yang lain sebanyak hampir 300 muka surat itu sebenarnya lebih bersifat ‘skandal’ dan terlampau remeh.

Rosli yang yang juga merupakan peguam mewakili Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Kerja Bersatu, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya juga menyatakan pihaknya telah mengemukakan permohonan untuk mengenepikan saman tersebut.

“Saman utama mempunyai banyak kejanggalan dari segi undang-undang dan fakta, ianya juga bersifat remeh, skandal hingga seluruh maksud itu agak ‘tempang’ sekali.

“Sebenarnya Tun Mahathir tidak mempunyai kuasa untuk bertindak demikian, tidak boleh bawa parti sebagai plaintif. Parti mesti jadi defendan. Mereka menuduh parti buat salah, tetapi pada masa sama mereka tiada kuasa malah saman ini sendiri sangat tempang.

“Tun sendiri telah bertindak letak jawatan sebelum ini dan yang lain-lain melakukan kesalahan seperti termaktub dalam Perlembagaan parti iaitu Perkara 10.2.6 jika mana-mana ahli membawa kes dalaman ke mahkamah maka keahlian mereka hilang secara automatik.

“Tindak tanduk Tun Mahathir dan yang lain-lain ini sendiri telah menunjukan tingkah laku berbeza, Tun bukan sahaja meletak jawatan sebaliknya juga telah bersama-sama pembangkang. Semua ini mereka sendiri yang lakukan bukanlah kerana pemecatan atau lain-lain,” katanya.

Jelas Rosli lagi, antara alasan lain yang telah digunakan oleh Muhyiddin untuk mahkamah mengetepikan tindakan saman ini atas isu teknikal kerana melanggar perlembagaan parti yang melarang ahli membawa urusan parti ke mahkamah.

Kata beliau, Perkara 10.2.6 Perlembagaan Bersatu tidak membenarkan ahli membawa kemelut dalaman parti ke mahkamah.

Peguam, Datuk Mohamed Haniff Khatri yang mewakili Tun Dr. Mahathir Mohamad dan enam yang lain dalam kes saman terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ROS berhubung pemecatan keahlian serta jawatan mereka dalam parti di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 18 JUN 2020

Sementara itu, menurut peguam mewakili Mahathir pula, Datuk Haniff Katri, permohonan plaintif untuk injunksi interim bagi mengekalkan kedudukan mereka sebagai ahli dan pemimpin parti sementara pertikaian diselesaikan akan didengar pada 9 Julai ini.

“Kita tunggu 9 Julai ini,” ujarnya ringkas.

Sebelum ini dalam saman itu, Mahathir dan lain-lain memohon perisytiharan, antaranya mereka adalah ahli Bersatu yang sah, masih lagi memegang jawatan dalam parti dan layak untuk bertanding pada pemilihan parti.

Mereka memohon pengisytiharan yang semua surat pemberhentian yang ditandatangani Muhammad Suhaimi bertarikh 28 Mei lalu dan pengesahan melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti bertarikh 4 Jun lalu tidak sah dan terbatal.

Plaintif juga memohon pengisytiharan keahlian Muhyiddin, Hamzah dan Muhammad Suhaimi di dalam BERSATU adalah terlucut, berkuat kuasa pada 28 Februari 2020 dan/atau 29 Februari 2020, menurut Fasal 10.2.3 perlembagaan parti.

Yang turut dipohon, pengisytiharan bahawa Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 adalah tidak terpakai untuk menghalang pelupusan pertikaian berkenaan oleh mahkamah.

Pengisytiharan lain ialah Fasal 10.2.6 Perlembagaan BERSATU tidak terpakai di atas hal melucutkan/ memberhentikan keahlian semua plaintif. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. deiii hanif..deii atuk n konco..
    Cukup2 la membelit fakta..rakyat takkan terpedaya LG dgn penipuan n lakonan korng

Comments are closed.