Home Nasional Beberapa pindaan dalam kes berkaitan 1MDB Goldman Sachs 

Beberapa pindaan dalam kes berkaitan 1MDB Goldman Sachs 

KUALA LUMPUR – Beberapa pindaan pihak pendakwa raya akan dilampirkan dalam pertuduhan kes Goldman Sachs International Ltd di United Kingdom (UK) yang berdepan dengan dakwaan penjualan bon 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM27.2 bilion (AS$6.5 bilion).

Selain daripada syarikat di UK, Goldman Sachs Asia LLC dan Goldman Sachs di Singapura juga berdepan dengan pertuduhan yang sama.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan hari ini kemudian memutuskan tarikh 4 September ini bagi lanjutan pendengaran kes pengurusan sebentar tadi.

Pada hari itu juga pendakwaan dijangka akan meletakkan beberapa pindaan terhadap pertuduhan yang sedia ada.

Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup ketika ditemui media berkata, pindaan tersebut ‘sesuatu yang besar’ jadi ia memerlukan sedikit masa tambahan.

“Kita juga perlukan masa untuk menyediakan pindaan pertuduhan terhadap pihak yang berada di luar negara memandangkan kita menutup sempadan negara sehingga 31 Ogos kerana Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berikutan tangani penularan pandemik Covid-19.

“Hakim tetapkan 4 September hadapan bagi pengurusan kes lanjutan, kita akan letakkan pindaan tersebut pada pertuduhan sedia ada,” katanya.

Pada Disember 2018, Malaysia mengemukakan empat pertuduhan ke atas tiga entiti berkenaan kerana didakwa meninggalkan fakta material berhubung penjualan bon terbitan antara anak syarikat 1MDB dan Aabar Investment PJS Ltd (Aabar).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di 1MDB, Aras 8, Menara IMC, No. 8, Jalan Sultan Ismail, di Kuala Lumpur antara 19 Mac, 2012 hingga 11 November, 2013.

Syarikat itu dituduh di bawah Seksyen 179 (c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 182 Akta yang sama dan sabit kesalahan boleh dipenjara untuk satu tempoh tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM1 juta.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat menganggarkan kira-kira $4.5 bilion diselewengkan daripada 1MDB antara 2009 hingga 2014.

Pada 24 Februari lepas, Goldman Sachs menerusi wakilnya, Ng Keng Leong mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan di hadapan Hakim Mohamed Zaini sebelum perbicaraan di tetapkan bermula 9 November tahun ini. –MalaysiaGazette