Home Politik Pilih Sharim bukti BN yakini kemampuan anak muda

Pilih Sharim bukti BN yakini kemampuan anak muda

Mohd Dendera Billah Zamzuri
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri.

KUALA LUMPUR – Pemilihan calon anak muda untuk mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang pada 4 Julai ini membuktikan parti itu meyakini kemampuan golongan itu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri menyifatkan keputusan itu sebagai satu penghargaan kepada anak muda yang banyak membantu BN dalam memenangkan calonnya dalam beberapa PRK sebelum ini.

“Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam mengucapkan tahniah kepada Mohd Sharim Md Zain kerana dipilih menjadi calon dalam PRK DUN Chini. Tahniah juga kepada BN kerana memilih calon orang muda!

“Ini satu bukti bahawa BN yakin dengan kemampuan anak muda, setelah beberapa PRK berlalu, BN terus memberi ruang kepada anak muda sebagai calon,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya, hari ini.

Semalam, Mohd Sharim yang juga generasi kedua Felda, diumumkan sebagai calon BN bagi PRK DUN Chini.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di pejabat UMNO Bahagian Pekan, Pahang, semalam yang turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Ahli Parlimen Pekan.

Mohd Sharim adalah anak tempatan Chini yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan.

Beliau seorang peniaga yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan termasuk menjadi Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan dan Naib Presiden Majlis Belia Pahang.

Mohd Sharim dipilih daripada 12 calon bagi mewakili belia di kawasan berkenaan yang mencecah 56. 9 peratus daripada jumlah pengundi.

Mohd Dendera Billah tidak menolak kemungkinan anak muda akan terus diberi peluang dan laluan untuk mewakili BN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

“Dominasi era anak muda bangkit di PRK Chini! Dengan keyakinan yang bermula sekarang ini, tidak mustahil anak muda akan diberi peluang sebagai calon di kawasan lain pada PRU-15 kelak.

“Calon anak muda juga diletakkan di kawasan yang berpotensi untuk menang. Bukti bahawa BN mampu meletakkan keyakinan kepada anak muda,” katanya lagi.

PRK DUN Chini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun akibat serangan jantung pada 6 Mei lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan tarikh pembuangan undi bagi PKR DUN Chini pada 4 Julai ini, manakala 20 Jun pula sebagai hari penamaan calon, manakala hari pengundian awal pada 30 Jun.

Pada PRU14 lalu, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, menewaskan calon Pas, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain daripada PKR (1,065). – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Yakin lah rakyat chini hanya perubahan membawa kepada yang baru
    Bijak dan buka mata fikiran….jangan selamanya kena dibuai mimpi tak pasti

Comments are closed.