Home Politik Shafie didakwa cuba aibkan Musa

Shafie didakwa cuba aibkan Musa

Datuk Zulkarnain Mahdar
Pengerusi Penaja Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar. foto IQBAL BASRI, 17 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Tindakan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah memfailkan tuntutan terhadap Tan Sri Musa Aman bagi menuntut RM872 juta didakwa bertujuan membina persepsi dengan niat mengaibkan bekas Ketua Menteri itu.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar menegaskan, langkah itu dilihat hanya cuba mengalih isu kegagalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mentadbir negeri itu.

“G57 tidak ingin mencampuri urusan saman ini sebaliknya percaya Malaysia jelas mengamalkan kebebasan bersuara, justeru kami percaya mahkamah akan mengadili kes saman ini dengan seadilnya.

“Namun suka diingatkan tindakan Shafie mengarahkan Yayasan Sabah memfailkan tindakan saman ke atas Musa sama sekali tidak akan mengubah kebencian rakyat terhadap Shafie, ini adalah fakta yang jelas.

“Kalaulah Shafie mempunyai niat tidak betul terhadap Musa, G57 berpandangan rekod buruk Shafie selama menjadi Ketua Menteri Sabah tetap tidak akan berubah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah memfailkan tuntutan terhadap Musa bagi menuntut RM872 juta milik yayasan itu yang didakwa hilang disebabkan perjanjian aktiviti pembalakan.

Menurut Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria, tuntutan itu telah difailkan melalui sistem e-filing di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, 16 Jun lalu.

Yayasan Sabah yang merupakan pemegang konsesi pembalakan terbesar di negeri ini ditubuhkan pada 1966 bagi menjaga kebajikan sosio ekonomi rakyat Sabah serta membantu pembangunan pendidikan negeri.

Dalam pada itu, G57 juga berpandangan rakyat Sabah adalah hakim yang sebenar untuk menilai prestasi Musa selama mentadbir Sabah berbanding Mohd Shafie.

“Sepanjang Musa mentadbir Sabah memperlihatkan pembangunan dan rezab negeri daripada RM180 juta telah berganda menjadi RM3.2 billion.

“Pengiktirafan Moody’s International memberikan sijil ISO kepada Kerajaan Negeri Sabah selama 7 tahun berturut-turut, selain sijil tanpa teguran kewangan selama 16 tahun berturut-turut oleh Jabatan Audit Negara adalah bukti jelas Musa telah meletakkan Sabah di landasan tepat.

“Malah Jabatan Audit negara juga telah memberikan Anugerah empat bintang kepada Sabah, penarafan tertinggi di bawah Indeks Akauntabiliti semasa Musa mengetuai Kementerian Kewangan Negeri Sabah,” katanya.

Keadaan Sabah jauh berbeza di bawah Mohd Shafie sepanjang dua tahun di mana Keluaran Dalam Negeri Kasar Sabah telah jatuh mendadak, isu pengangguran semakin meningkat naik.

“Malahan yang terkini bantuan Covid-19 yang dijanjikan oleh Mohd Shafie telah gagal disalurkan sepenuhnya kepada rakyat Sabah.

“G57 mencabar Shafie selain minyak sawit, apa program pembangunan yang telah berjaya dibangunkan dan dibawa masuk ke Sabah?

“Di mana pelabur yang dijanjikan oleh Mohd Shafie kononnya akan datang melabur ke Sabah dengan nilai berbilion ringgit. Sehingga hari ini, tiada satu pun pelabur kelihatan telah melabur di Sabah?” soalnya lagi.

Zulkarnain juga mempersoalkan peranan Mohd Shafie ketika menggalas jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sebelum ini dalam soal proses baik pulih jalan rosak, selain kemudahan elektrik dan air di Sabah.

Selain itu, isu kes rasuah terhadap Peter Anthony yang melibatkan kehilangan wang deposit berjumlah RM15.5 juta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga seharusnya bukan menjadi penyebab Mohd Shafie menyimpan dendam terhadap Musa.

“Sebenarnya kes melibatkan kehilangan wang Risda ini telah dilaporkan sendiri oleh pihak Risda kepada SPRM dan polis pada 2016 dan ianya langsung tidak ada kena-mengena dengan Musa.

“Kes melibatkan isu rasuah Mohd Shafie membabitkan wang peruntukan luar bandar berjumlah RM1.5 billion juga tidak ada kena-mengena dengan Musa.

Ketua Menteri Sabah itu juga digesa menyaman SPRM sekiranya pihak berkuasa itu bertindak salah dengan menuduh Peter tanpa bukti dan asas kukuh.

“SPRM tidak kebal malahan boleh dikenakan tindakan saman oleh Mohd Shafie, sebaliknya menyimpan dendam terhadap Musa bukanlah satu tindakan bijak dilakukan oleh Shafie.

“Mohd Shafie perlu fokus bantu rakyat Sabah, pandang ke hadapan dan sering turun padang, lihatlah kesusahan rakyat Sabah ketika ini. Masih ramai hilang punca pendapatan akibat dibuang kerja dan perniagaan terpaksa ditutup semasa PKP.

“Sebaliknya apabila Shafie terlalu asyik berpolitik selain sibuk mahu menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat Sabah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Aos kata kita balas niat buruk sapi bebal dengan tindakan saman juga. Banyak penyelewngan dia buat masa jadi menteri pembangunan lyar bandar dulu yang ditutup oleh kerajaan PH dan Tun Madey. Kita buka semula. Berbillion tu.

Comments are closed.