Home Nasional Covid-19: Penularan satu angka tanda negara masuk fasa pemulihan

Covid-19: Penularan satu angka tanda negara masuk fasa pemulihan

Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menampal cop kepada seorang penduduk bersama anaknya untuk melakukan ujian saringan ke atas penduduk bagi membendung wabak Covid - 19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Pangsapuri Segar Ria, Taman Segar, Cheras, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 JUN 2020

PUTRAJAYA – Kes penularan di dalam negara yang kerap mencapai satu angka, menandakan negara sudah memasuki fasa pemulihan.

Namun, aktiviti survelan tetap dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain mempergiatkan pemantauan penularan Covid-19 di komuniti pada setiap masa, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, aktiviti tersebut membolehkan pengesanan awal kes Covid-19 di Malaysia dan tindakan pembendungan penularan dapat segera diambil.

“Aktiviti-aktiviti survelan yang dijalankan adalah termasuk survelan klinikal dan juga saringan kumpulan-kumpulan sasar.

“Survelan klinikal dilaksanakan melalui pengambilan sampel untuk saringan Covid-19 secara rawak dari fasitili kesihatan KKM,” katanya pada sidang media Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, sehingga minggu ke-24 (iaitu sehingga 13 Jun 2020), sebanyak 19,309 sampel penyakit seperti influenza (ILI) dan jangkitan pernafasan akut yang teruk (SARI) telah diambil.

Ia membabitkan kes ILI dengan 15 kes positif Covid-19 daripada 2,048 sampel (iaitu kadar positif adalah 0.7 peratus) dan kes SARI pula sebanyak 76 kes positif Covid-19 daripada 17,261 sampel (iaitu kadar positif adalah 0.4 peratus).

Beliau berkata, jumlah Klinik Kesihatan KKM telah ditambah lagi kepada 26 buah di seluruh negara bagi mempergiatkan sistem amaran awal penularan Covid-19 di Malaysia, ujarnya.

Tambahnya, bagi saringan pra pembedahan kes kecemasan dan separa kecemasan di hospital KKM sehingga 19 Jun 2020, 17 kes positif Covid-19 telah dikesan daripada 37,756 pesakit yang disaring iaitu 0.05 peratus.

“Aktiviti survelan Covid-19 di Malaysia akan diteruskan walaupun sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ditamatkan, yang  mana aktiviti ini akan dimantapkan termasuk di sektor swasta.

“KKM ingin memaklumkan bahawa semua kes positif Covid-19 di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta haruslah dinotifikasikan kepada KKM.

“Ini kerana, Covid-19 telahpun didaftar sebagai penyakit yang perlu dinotifikas di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya. – MalaysiaGazette