Home Nasional Kereta bertembung kenderaan pacuan empat roda, tiga sekeluarga maut

Kereta bertembung kenderaan pacuan empat roda, tiga sekeluarga maut

Tiga sekeluarga maut termasuk kanak-kanak berusia dua tahun manakala seorang lagi cedera selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kemalangan di KM74, Jalan Ipoh-Gerik dekat Kampung Kuak, Sauk malam tadi.

IPOH – Tiga sekeluarga maut termasuk kanak-kanak berusia dua tahun manakala seorang lagi cedera selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kemalangan di KM74, Jalan Ipoh-Gerik dekat Kampung Kuak, Sauk malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10.40 malam itu, mangsa yang maut adalah pemandu kereta jenis Toyota Vios iaitu Abdul Hakim Hashim, 32, yang juga Jurutera Majlis Perbandaran Manjung, isterinya Nurul Huda Arifin, 31, yang bekerja sebagai Penolong Jurutera Pertanian dan anak mereka berusia dua tahun iaitu Adib Aidan.

Dua terselamat iaitu seorang lagi anak pasangan itu, Ammar Aiman, 4 tahun, mengalami kecederaan ringan serta pemandu Toyota Hilux, lelaki berusia 33 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Razali Ibrahim berkata ketika kejadian, keluarga itu sedang menuju ke arah Gerik dari Kuala Kangsar sebelum pemandu Toyota Hilux dipandu seorang penyelia pembalakan yang datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan mereka hingga berlaku pertembungan.

“Akibat pertembungan itu, Toyota Vios telah berpusing lalu memasuki parit di bahu kiri jalan dan mengakibatkan semua mangsa tersepit di dalam kereta dan mangsa wanita disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Semua mangsa termasuk pemandu Toyota Hilux yang mengalami luka pada lutut kanan dikejarkan ke Hospital Kuala Kangsar namun pemandu Toyota Vios meninggal dunia pada 12.15 tengah malam (ketika menerima rawatan) manakala seorang anaknya pula meninggal dunia kira-kira lima minit kemudian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Razali berkata bedah siasat ke atas mangsa yang maut akan dijalankan di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar pada pagi ini manakala pemandu Toyota Hilux itu telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya darah dan urin penyelia pembalakan itu telah diambil untuk ujian toksikologi manakala kenderaan terlibat turut ditahan untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya segera mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar dan Lenggong sebaik menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 10.27 malam bagi kerja-kerja menyelamat.

“Pemandu Toyota Hilux telah dikeluarkan orang awam manakala proses mengeluarkan mangsa dalam Toyota Vios dilakukan dengan menggunakan kaedah ‘Roof Top Remover’ dan ‘Side Remover’ dengan sepantas mungkin untuk menyelamatkan mangsa dan operasi tamat pada 11.59 malam,” katanya.

— BERNAMA