Home Nasional PRK Chini: Penamaan calon berlangsung dalam norma baharu

PRK Chini: Penamaan calon berlangsung dalam norma baharu

Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain tiba untuk penamaan calon Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini menjelang hari penamaan calon pada esok hari di Taman Selasih, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 20 JUN 2020.

CHINI – Suasana proses penamaan calon di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N23 Chini tenang tanpa gerombolan penyokong calon-calon yang bertanding.

Ini kerana tiada pergerakan penyokong dibenarkan di sekitar pusat penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), hari ini.

Dalam pada itu, PRK DUN Chini hampir pasti tiga penjuru apabila dua calon bebas dan satu calon BN muncul menyerahkan borang pencalonan masing-masing.

Calon pertama yang hadir adalah aktivis Mohd Shukri Mohd Ramli sebagai calon bebas bagi PRK DUN Chini jam 8.36 pagi dengan diiringi Noor Azhar Mohd Sharupi sebagai pencadang dan Sahilawati Hassan sebagai penyokong beliau.

Mohd Shukri menyerahkan borang pencalonannya pada jam 9.05 pagi.

Calon bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli hadir untuk penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Institut Kemahiran Belia Negara Pekan, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 20 JUN 2020

Seorang lagi calon bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin memasuki pusat penamaan jam 8.42 pagi.

Beliau dilihat menyerahkan borang pencalonan jam 9.02 pagi.

Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain tiba jam 8.56 pagi di perkarangan Dewan Utama IKBN Pekan dan menyerahkan borang penamaannya bagi PRK DUN Chini tepat jam 9.04 pagi.

Calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin hadir untuk penamaan calon Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Institut Kemahiran Belia Negara Pekan, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 20 JUN 2020

Sebelum itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun dan timbalannya, Prof Dr Azmi Sharom memasuki pusat penamaan jam 8.32 pagi.

Proses menyerah borang pencalonan bermula jam 9 pagi hingga 10 pagi ini.

Kesemua calon yang layak bertanding dijangka akan diumumkan pada jam 11 pagi oleh Pegawai Pengurus PRK Datuk Zaliza Zulkipli.

SPR semalam mengarahkan tiada penyokong calon untuk berkumpul di perkarangan pusat penamaan kerana Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikenakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pelaksanaan itu bagi memenuhi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diperkenalkan pada 10 Jun lalu sehingga 31 Ogos depan.

Bagi penyokong parti pula, mereka tidak dibenarkan mengiringi calon dan hanya boleh berada 1.5 kilometer dari dewan itu bagi menjaga penjarakan sosial ketika PRK berlangsung dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

PRK Chini kali ini menyaksikan BN membawa misi mempertahankan kerusi itu, mengumumkan Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Pekan, Mohd Sharim sebagai calon.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas.

Pada PRU14, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR (1,065).

Abu Bakar merupakan penyandang kerusi DUN Chini sejak PRU11 pada tahun 2004.

SPR menetapkan pengundian awal bagi PRK DUN Chini pada 30 Jun manakala hari mengundi pada 4 Julai. DUN Chini, yang merupakan antara empat DUN di bawah Parlimen Pekan.

Untuk rekod, ini adalah PRK pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Daftar pemilih bagi PRK DUN Chini mengandungi 20,990 pengundi terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal polis.

PRK Chini adalah pilihan raya ke-11 selepas PRU14 2018 dan merupakan yang pertama buat Perikatan Nasional (PN) selepas mengambil alih kepimpinan negara daripada PH. – MalaysiaGazette