Home Politik Amanah dan DAP bidas Bendahari Agung PKR

Amanah dan DAP bidas Bendahari Agung PKR

Lee Chean Chung

KUALA LUMPUR – DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) membidas Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung berhubung dua opsyen calon perdana menteri yang diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 30 Mei lalu.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata, Lee bukanlah anggota Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Lee juga tidak pernah menghadiri mana-mana mesyuarat Majlis Presiden.

Justeru itu, beliau tidak tahu isi kandungan perbincangan dan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat 30 Mei tersebut.

Mereka menambah, Lee juga sepatutnya merujuk kepada Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Datuk Saifudin Nasution untuk mendapatkan minit mesyuarat tersebut sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan.

“Kami mengeluarkan kenyataan semalam kerana itulah yang telah diputuskan dan ianya telahpun diminitkan.

“Kami mencadangkan supaya saudara Lee merujuk kepada Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Datuk Saifudin Nasution untuk mendapatkan cabutan minit mesyuarat tersebut sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenainya,” kata mereka dalam kenyataan bersama.

Semalam dalam kenyataan bersama, Loke dan Khalid berkata mesyuarat Pakatan Harapan bersetuju sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamad dipilih sebagai Perdana Menteri dan Anwar sebagai timbalannya.

Namun, Lee pula hari ini mendakwa mesyuarat tersebut adalah untuk menentukan resolusi agar Anwar dicalonkan sebagai Perdana Menteri.-MalaysiaGazette