KUALA LUMPUR- Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba meminta semua pihak supaya berhenti buruk sangka terhadap hubungannya dengan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.
Jelas Ahli Parlimen Tenggara itu, dalam peperangan menghadapi pandemik Covid-19, pembahagian tugas merupakan perkara yang paling penting bagi memastikan wabak tersebut dapat dibendung dan dalam masa yang sama orang ramai mendapat maklumat tepat dan terkini.
“Dalam peperangan melawan Covid-19, kami mesti bekerja sebagai satu pasukan.
“Kami tidak ada masa untuk bertelagah tentang perkara titik-bengik. Pembahagian tugas adalah perkara utama.
“Sebagai seorang menteri yang baharu sahaja dilantik, saya tidak mempunyai banyak masa untuk meneliti setiap dasar kementerian dalam membendung pandemik Covid-19.
“Saya sangat bersyukur kerana dalam memerangi Covid-19, saya mendapat kerjasama penuh daripada Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Pengarah Kesihatan,” katanya dalam satu temubual bersama NSTP.
Tambah Dr. Adham, beliau mengarahkan Ketua Pengarah untuk menghadiri sidang media harian dan mengemas kini perkembangan semasa Covid-19 kerana terdapat risiko komunikasi yang perlu diatasi sepanjang masa.
Manakala beliau sebagai seorang menteri dan Ahli Parlimen perlu menjawab pelbagai soalan di Parlimen yang mana Ketua Pengarah tidak boleh berbuat demikian.
“Dengan itu, sesiapa yang fikir kami ada masalah, silalah berhenti berspekulasi,” tegasnya.- MalaysiaGazette