KUALA LUMPUR- Mesyuarat Khas Menteri-Menteri hari ini bersetuju untuk membenarkan upacara perkahwinan penganut bukan Islam dilaksanakan.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, upacara perkahwinan tersebut bagaimanapun perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.
Ini termasuk tidak boleh dihadiri oleh lebih 20 orang (termasuk Penolong Pendaftar Perkahwinan) dan tertakluk kepada kapasiti rumah ibadat atau persatuan agama bukan Islam berkenaan.
Penjarakan sosial juga perlu dipatuhi.
“Kebenaran ini adalah bagi upacara perkahwinan bukan Islam di Rumah Ibadat dan Persatuan Agama Bukan Islam yang melibatkan Penolong Pendaftar Perkahwinan yang dilantik dibawah Seksyen 28, Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) (Akta 164),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tegasnya, majlis resepsi perkahwinan masih tidak dibenarkan.- MalaysiaGazette