Home Nasional Polis tidak putus asa bawa balik Jho Low

Polis tidak putus asa bawa balik Jho Low

Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Bukit Aman tidak akan berputus asa untuk mengesan Low Taek Jho atau Jho Low, dengan semua usaha diarahkan untuk membawanya kembali ke muka pengadilan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, beliau sudah berusaha untuk membawa balik Jho Low pada tahun lalu tetapi tidak berjaya.

“Saya masih berusaha mencapai matlamat ini.

“Saya mengakui saya telah gagal tetapi itu tidak bermaksud usaha untuk membawanya kembali terhenti,” kata Abdul Hamid dalam satu wawancara dengan The Star.

Abdul Hamid berkata, polis tahu di mana Jho Low bersembunyi tetapi ada kekangan tertentu yang menghalang polis membawa ahli perniagaan itu kembali.

“Ada laporan berita asing baru-baru ini mendakwa Jho Low berada di Kuwait tetapi itu pada tahun 2016.

“Jika dia benar-benar berani, maka dia perlu keluar dari tempat persembunyiannya,” Ketua Polis Negara.

Abdul Hamid berkata, dia tidak akan menyerah untuk mencari Jho Low, bekas Pengarah Urusan SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil dan beberapa yang lain.

“Kerana dia dan beberapa orang lain, negara ini berdepan sarat dengan hutang”.

Abdul Hamid berkata, polis sedang bekerja di belakang tabir untuk mendapatkan semula wang yang dicuri dan membawa Jho Low balik.

Beliau menolak dakwaan bahawa Jho Low mempunyai banyak wang dan dapat mendiamkannya dengan memberikan rasuah.

“Saya tidak dapat dibeli kerana misi saya adalah berkhidmat untuk rakyat dan negara.

“Usaha membawa dia balik untuk berdepan dengan keadilan akan diteruskan,” tambah beliau.

Sebelum ini Abdul Hamid berikrar untuk membawa balik Jho Low – individu yang ada kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) – pada akhir tahun lalu.

Tetapi pihak berkuasa menghadapi kesulitan kerana tidak mendapat kerjasama dengan ‘negara asing’ yang dipercayai menyembunyikan Jho Low.

Beliau juga mengecam negara tersebut mengecam negara tersebut kerana tidak ikhlas lalu menyukarkan polis Malaysia menangkap Jho Low.

Jho Low, Nik Faisal, Eric Tan Kim Loong, Casey Tang, Jasmine Loo dan Geh Choh Heng adalah antara yang dikehendaki oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2015 untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.