Home Nasional KKM kaji antibodi pesakit Covid-19 yang sudah pulih

KKM kaji antibodi pesakit Covid-19 yang sudah pulih

Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan persiapan dengan memakai baju PPE bagi pengambilan sampel Covid-19 terhadap orang awam berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di SJK (C) Chen Moh, Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 11 MEI 2020.

PUTRAJAYA – Satu kajian mengenai tahap antibodi dalam badan pesakit Covid-19 yang sudah pulih dan didiscaj akan dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak lama lagi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kajian itu sedang dalam perancangan pasukan kesihatan dan langkah itu diambil ekoran hasil laporan yang mendakwa antibodi seseorang pesakit Covid-19 yang sudah pulih hanya bertahan selama tiga bulan.

“Sekarang ada kemungkinan kita (KKM) akan laksanakan kajian melihat respon antibodi tersebut kerana mereka telah dijangkiti Covid-19.

“Kalau sedemikian akan ada tindakbalas antibodi, laporan mengatakan antibodi tidak berkekalan dan ertinya hanya bertahan selama tempoh tiga bulan sahaja dalam badan pesakit.

“Jadi kita perlu buat pantau dan kajian dengan membuat susulan dengan pesakit yang sudah pulih sama ada mereka masih ada antibodi atau tidak dalam badan,” katanya pada sidang media di KKM hari ini.

Ditanya mengenai kaedah KKM memantau komplikasi paru-paru di kalangan pesakit Covid-19 yang telah pulih, Noor Hisham berkata, pihaknya hanya membenarkan pesakit pulang setelah menjalani imbasan dan saringan.

Menurut beliau, daripada 8,587 pesakit kes positif yang menerima rawatan susulan setakat ini, kebanyakannya berada pada peringkat jangkitan tahap satu dan dua sahaja.

“Oleh demikian, kita sekarang pantau pesakit yang berada dalam peringkat empat dan lima jangkitan, mereka akan dipantau sebaiknya iaitu jika berlaku kerosakan (komplikasi paru-paru) mereka akan dirawat sebelum discaj.

“Antaranya mereka akan dilibatkan dalam pemeriksaan rapi seperti rawatan Imbasan CT serta imbasan X-ray sebelum tahap kesihatan disahkan dan dibenarkan pulang,” tambah beliau beliau.

Sementara itu, Noor Hisham Abdullah memberitahu, sebanyak 316 kes positif jangkitan Covid-19 dikesan dalam kalangan Kluster Pedas menerusi 957 ujian saringan yang dilaksanakan telah diasing dan dikuarantin serta dipantau rapi menerusi rawatan.

“Kami telah kuarantin mereka untuk 14 hari termasuk ahli keluarga serta semua kontak rapat mereka.

“Mereka akan disaring dan diswap semula selepas 14 hari dan sekiranya masih menunjukkan positif kita akan asingkan mereka sekali lagi,” katanya.

Menurut Noor Hisham, kluster berkenaan bermula dalam kalangan pekerja warga Malaysia yang kemudiannya berjangkit serta menular dalam kalangan pekerja bukan warga negara.

“Kes-kes positif kluster ini melibatkan 14 kes di kalangan warga Malaysia dan 302 kes bukan warganegara,” jelasnya.

Daripada 302 kes bukan warga negara sebanyak 163 kes membabitkan warga Nepal diikuti Bangladesh (67 kes), Myanmar (35 kes), Indonesia (31 kes), India (empat kes) dan Vietnam serta Kemboja (masing-masing satu kes). – MalaysiaGazette