GENEVA – Kes koronavirus melonjak di beberapa negara utama dengan kebimbangan kenaikan di Latin Amerika terutama di Brazil, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, dunia kini merekodkan lebih daripada 183,000 kes baharu pada hari Ahad lalu, kenaikan sehari tertinggi sejak wabak maut ini dikesan pada bulan Disember lalu.
“Pasti jumlahnya meningkat kerana wabak ini berkembang dalam kalangan penduduk dan pada waktu yang sama ia berlaku di seluruh dunia,” kata Pakar Kecemasan WHO, Mike Ryan.
Beliau juga tidak menolak kenaikan kes disebabkan peningkatan ujian saringan yang dilakukan seperti yang dilaksanakan di India.
Meskipun begitu, Ryan tidak percaya ujian saringan yang semakin meluas menjadikan lonjakan kes koronavirus.
Kes Covid-19 di seluruh global sudah melepasi 9 juta orang dengan Amerika Syarikat, China dan negara-negara lain yang dilanda juga melaporkan wabak baharu.
Katanya, kes meningkat di Chile, Argentina, Colombia, Panama, Bolivia dan Guatemala, selain Brazil, yang sudah mencecah 1 juta kes, diikuti Amerika Syarikat (AS) yang mencatatkan 54,000 kes dalam tempoh 24 jam sebelum ini.
Menurut Ryan, lonjakan kes di Brazil mungkin disebabkan ujian saringan yang masih rendah dalam kalangan populasi dan kadar positif pula cukup tinggi.
Negara terbesar di Amerika Latin itu mencatatkan lebih dari 1,000 kematian sehari sejak bulan lalu.
Ryan said he thought there had been “great upticks” in cases in a number of U.S. states.
Ryan menambah, peningkatan besar kes juga berlaku di AS.
“Saya tidak yakin 100 peratus mengenai profil usia, tetapi saya melihat laporan bahawa beberapa kes adalah dalam kalangan orang muda. Itu mungkin mencerminkan orang muda lebih mudah bergerak dan mereka keluar dan tidak mematuhi sekatan pergerakan,” ujarnya.
WHO juga melahirkan rasa bimbang terhadap Jerman, yang mana kadar pembiakan virus mencecah 2.88 pada hari Ahad, melepasi tahap maksimum penularan setiap orang yang diperlukan untuk mengekang penyakit ini dalam jangka panjang.
Tedros sekali lagi mengingatkan kekurangan kepemimpinan global dan kesatuan dalam memerangi virus itu adalah ancaman yang lebih besar daripada wabak itu sendiri dan mempolitikkan wabak ini menjadikan pandemik semakin buruk.
WHO telah dikritik oleh beberapa negara anggota, terutama Amerika Serikat, yang mengatakan badan itu terlalu lemah, terlambat dan terlalu “berpusat pada China” dalam menangani penyakit ini sejak awal. – MalaysiaGazeette