KUALA LUMPUR – Walaupun tadika akan dibuka semula pada 1 Julai, tetapi prosedur operasi standard (SOP) yang melarang murid membawa beg sekolah dan makanan menimbulkan tanda tanya dan rasa tidak puas hati ibu bapa.
Pengerusi Persatuan Tadika Malaysia, Eveleen Khoo berkata, bukan semua tadika mempunyai kemudahan dapur untuk menyediakan makanan dan murid tidak boleh meminum Milo dan makan biskut sepanjang minggu.
Katanya, isu juga akan timbul jika pihak tadika menyediakan makanan, tetapi dilarang mengenakan bayaran tambahan kepada ibu bapa.
“Saya justeru menggalakkan murid untuk membawa bekal dan minuman dari rumah, makanan yang disediakan di rumah sendiri adalah paling selamat,” katanya kepada China Press.
Eveleen berkata, beliau akan mengumpulkan pandangan tadika-tadika yang ada sebelum menghantar satu memorandum kepada Kementerian Pendidikan pada Julai.
“Tadika yang tidak berdepan apa-apa isu boleh dibuka semula seperti biasa pada 1 Julai.
“Keadaannya lebih mudah dikawal jika muridnya tak ramai. Murid-murid boleh menjamu di tempat duduk masing-masing di bawah pengawasan cikgu,” katanya. – MalaysiaGazette