KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini menyerahkan bantuan aktiviti dakwah dan kebajikan kepada 46 institusi bukan kerajaan (NGO) melibatkan peruntukan RM1.59 juta.
Bantuan itu adalah antara 28 skim bantuan ditawarkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk membantu NGO melaksanakan aktiviti dakwah serta kebajikan.
Dalam ucapannya, beliau berkata, peruntukan sebanyak RM1.59 juta itu diagihkan kepada 32 NGO dan sembilan pusat tahfiz serta rumah kebajikan dalam Wilayah Persekutuan.
“Usaha murni yang dimainkan oleh NGO ini melengkapkan lagi agenda kerajaan membantu masyarakat yang memerlukan.
“Mereka ini boleh diistilahkan sebagai sektor masyarakat ketiga selepas kerajaan dan badan perniagaan, kerana peranannya merancakkan aktiviti bersifat kemasyarakatan menerusi aspek pendidikan, ekonomi, kebajikan dan banyak lagi tanpa bermotifkan keuntungan,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada majlis penyerahan bantuan aktiviti dakwah dan kebajikan dan pelancaran Mobile Aplikasi Jejak Asnaf (MOJA) di Bangunan Perkim, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Akbar Samon.
Antara institusi NGO yang menerima bantuan itu ialah Global Unity Network, Persatuan Cina Muslim Cawangan Wilayah Persekutuan (MACMA WP), Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Malaysia (PERTIS), Persatuan Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (GEPIMA), Rumah Amal Asnaf Al-Barakh dan Maahad Ad-Dirasatil Islamiyyah.
Dr. Zulkifli berharap, NGO berkenaan dapat bersama kerajaan menggandakan usaha, terutama menganjurkan program bersifat dakwah, memberi pemahaman mengenai Islam dan meningkatkan syiar Islam dalam kalangan masyarakat.
Katanya, MAIWP menerusi Bahagian Baitumal menyediakan peruntukan khusus dari dana zakat untuk membantu NGO seperti agensi kebajikan, rumah kebajikan dan Institusi Pendidikan Islam dalam merancakkan aktiviti mereka kepada golongan sasar.
“MAIWP dilihat sebagai salah satu agensi pengurusan zakat yang terkehadapan di negara ini. Pelbagai bentuk aktiviti dan program agihan zakat telah dilaksanakan di Wilayah Persekutuan.
“Menerusi skim bantuan zakat, sebanyak 28 skim telah diwujudkan merangkumi pelbagai aspek keperluan dan ditambah lagi dengan agihan zakat secara tidak langsung menerusi penubuhan institusi pendidikan dan kebajikan.
“Usaha ini tidak lain, untuk kita membuktikan dan membalas kepercayaan para pembayar zakat di Wilayah Persekutuan yang menunaikan zakat kepada MAIWP dan Pusat Pungutan Zakat MAIWP,” katanya.
Menurutnya, beliau juga mahu membetulkan persepsi yang menyatakan zakat tidak diagihkan, zakat hanya disimpan, pegawai agihan tidak turun padang, prosedur yang menyukarkan dan banyak lagi andaian berlegar di kalangan masyarakat mengenainya. – MalaysiaGazette