SINGAPURA – Presiden Singapura, Halimah Yacob telah membubarkan Parlimen hari ini selepas menerima nasihat Perdana Menteri, Lee Hsein Loong.
Susulan itu, hari penamaan calon ditetapkan pada 30 Jun ini dan hari mengundi akan diumumkan oleh pegawai pilihan raya, kata Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Lee dalam pengumuman yang disiarkan di stesen televisyen berkata, pilihan raya itu akan memberi mandat lima tahun kepada kerajaan baharu untuk memberi fokus kepada agenda nasional.
“Keputusan ini dibuat kerana kerajaan tidak ada jaminan bahawa pandemik Covid-19 ini akan dapat ditangani sebelum tempoh penggal kerajaan berakhir pada April tahun depan,” kata Lee.
Bagaimanapun, Lee tidak memaklumkan tarikh pilihan raya tersebut akan diadakan.
Lee berkata, sebelum memutuskan untuk mengadakan pilihan raya, beliau sudah menimbangkan dua perkara – iaitu pengundi boleh mengundi dengan selamat dan parti-parti politik boleh berkempen secara efektif.
“Saya berpuas hati apabila kedua-dua perkara ini boleh dilakukan,” tambahnya.
Jabatan Pilihan Raya (ELD) telah mengeluarkan garis panduan untuk memastikan rakyat selamat untuk keluar mengundi meskipun berdepan dengan penularan koronavirus.
Garis panduan itu termasuk menetapkan masa mengundi kepada warga emas, mewujudkan lebih banyak pusat mengundi dan memastikan pengundi memakai sarung tangan sebelum memasuki saluran peti undi.
Tetapi calon-calon yang bertanding tidak dibenarkan berkempen.
Sebaliknya, penyiaran kempen parti-parti politik dibenarkan untuk ke udara melalui Channel 5, Mediacorp, dengan setiap calon diberikan tiga minit untuk berkempen.
Ia merupakan peluang yang diberikan selain kempen di 19TV dan rangkaian-rangkaian radio.
Parti-parti politik dibenarkan ‘walkabout’ dari pintu-pintu dengan jumlah dihadkan kepada lima orang sahaja dengan mematuhi arahan pihak berkuasa kesihatan iaitu memakai pelitup muka dan tidak boleh ada sentuhan fizikal, kata ELD.
Lee menambah, sepanjang tempoh pilihan raya, kerajaan sedia ada akan terus mentadbir dan Kabinet masih dikekalkan.
Malah, perkhidmatan awam juga diteruskan sebagaimana yang dipraktikkan setiap kali pilihan raya umum.
Pasukan khas menteri yang bertanggungjawab ke atas Covid-19 juga perlu meneruskan tugas-tugas.
Lee membayangkan pilihan raya umum nanti tidak seperti pilihan raya yang diadakan sebelum ini – bukan sahaja disebabkan terpaksa berdepan dengan Covid-19 tetapi situasi graviti dan isu-isu yang dipertaruhkan.
“Kerajaan yang anda pilih akan memutuskan keputusan penting untuk diambil. Keputusan ini akan memberi kesan kepada kehidupan dan mata pencarian anda dan akan membentuk Singapura selama bertahun-tahun yang akan datang, melebihi jangka masa lima tahun pemerintahan berikutnya.
“Tidak lama lagi, anda akan berpeluang untuk memutuskan siapa yang akan bekerja sama dengan anda untuk membawa negara ke hadapan.
“Saya yakin anda akan berfikir dengan teliti dan memilih dengan bijak, untuk melindungi kehidupan, pekerjaan dan masa depan kita,” kata Lee. – MalaysiaGazette
Rakyat Singapura perlu berani mengubah kerajaan!
Buktikan demokrasi WUJUD disana?
singapore tak perlu tukar kerajaan.jerana china di sana 100 kali lebih baik dari china di.malaysia.