CHINI – ”Kami juga mahu keperluan asas seperti elektik, air dan jalan”.
Itu luahan hati kira-kira 100 masyarakat Orang Asli di Batu Gong, Chini menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai depan.
Menurut Ketua Kampung Orang Asli itu, Tom Busu 63, mereka menagih janji itu yang pernah diberikan kepada mereka pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), dua tahun lalu.
“Saya perlu rumah, jalan, elektrik sebab dari dahulu lagi saya mohon dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum ini.
“Saya pernah cerita pasal permohonan saya ini kepada Allahyarham tapi malangnya masa tu BN (Barisan Nasional) kalah jadi tidak adalah semua janji itu.
Untuk rekod, BN tewas pada PRU14 pada 2018.
Menurut Yatim Bakar, 61, keperluan itu kian mendesak apabila generasi ketiga akan mewarisi kawasan itu tidak lama lagi.
Jelas Yatim, kehidupan Orang Asli kian dihimpit apabila hasil hutan yang menjadi punca mata pencarian mula menyusut.
“Yang pertama sekali kami nak adalah rumah, kedua api air dan jalan dan juga projek tanaman sawit.
“Itu yang kami mahu. Kalau minta, Tok Batin tak mampu nak bagi. Dia kata kerajaan tiada duit. Itulah alasan dia.
“Saya kerja dengan cabut dan jual akar-akar kayu sahaja. Kami tidak ada kerja, kadang-kadang dapat RM5 hingga RM6 satu hari” kata Yatim.
Malah ada penduduk yang telah putus harap dengan janji-janji yang ditaburkan kepada mereka sebelum ini.
Menurut Miah Chik, 53, segala janji yang ditawarkan hanya tinggal janji oleh pihak-pihak tertentu yang terus meminggirkan mereka dan hanya menampakkan muka apabila ada pilihan raya.
“Saya tidak dapat apa masa PRU14 dahulu. Itu yang saya tak mahu mengundi kali ini. Ada yang datang kempen tapi kami masyarakat Orang Asli tidak pernah dapat apa.
“Bukan takat tak dapat duit, barang makanan pun mereka tak beri,” katanya dalam nada kecewa.
PRK Chini diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 7 Mei lalu.
Pada PRU14, beliau yang juga calon BN memenangi kerusi berkenaan dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi menewaskan calon Pas, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR (1,065).
PRK Chini adalah pilihan raya pertama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa bermula 18 Mac ekoran penularan pandemik Covid-19. -MalaysiaGazette