SELURUH umat Islam di dunia sudah mula berpuasa.
Sudah tentu sepanjang bulan Ramadan, mereka yang berpuasa berkesempatan menikmati buah kurma.
Kurma boleh dimakan begitu sahaja dan diambil bersama krim, yogurt, tepung, telur dan susu.
Ia adalah buah-buahan kering, lantaran itu kurma memiliki banyak nilai pemakanan.
Kaya dengan mineral, fiber asli dan pelbagai vitamin – kurma adalah makanan kurang kolestrol dan ia boleh dimakan oleh individu yang menghadapi masalah kesihatan.
Kandungan kalium kurma baik untuk jantung kerana ia mengimbangkan dengan kandungan natrium yang rendah.
Kurma adalah makanan sihat untuk jantung, menurut Persatuan Jantung Amerika kerana kolesterol dan kandungan lemak tepu yang rendah.
Buah itu juga sumber terbaik tenaga, sarat dengan serat dan karbohidrat yang memberikan anda rangsangan semula jadi.
Kurma membantu memudahkan proses penghadaman, disebabkan oleh pelbagai jenis asid amino yang terkandung di dalamnya, membantu memudahkan proses penghadaman dan juga menghalang makan berlebihan.
Vitamin B yang terkandung dalam kurma baik untuk rambut anda dan ia membantu mengubati anemia.
Kurma juga bagus untuk anak-anak anda kerana ia mengandungi nutrien yang penting untuk pertumbuhan.
Jadikan pengambilan kurma rutin dalam kehidupan anda – boleh menggantikannya dengan gula dalam makanan pencuci mulut untuk gaya hidup sihat. – MalaysiaGazette