Home Ekonomi SELDEC tawar 7,000 peluang pekerjaan

SELDEC tawar 7,000 peluang pekerjaan

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berbual bersama penghantar makanan Selangor Digital E-Supply Chain (SELDEC) pada Majlis Pelancaran Portal Seldec Rider di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam. foto AFIQ RAZALI, 24 JUN 2020

SHAH ALAM – Selangor mensasarkan 7,000 peluang pekerjaan diwujudkan menerusi program Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (SELDEC) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program ini bukan sahaja melibatkan golongan usahawan tetapi juga terbuka kepada penghantar barang, pengurus dan koordinator di pusat pengumpulan produk di seluruh negeri.

Beliau berkata, masyarakat perlu bersedia dengan aplikasi digital yang bakal menjadi transaksi penting pada masa akan datang.

“Pembangunan SELDEC juga dilihat sebagai inisiatif bagi memastikan hasil- hasil pertanian dan produk di Selangor mencapai potensi pasaran yang bukan sahaja terhad di kawasan daerah masing- masing, namun dapat dinikmati oleh pengguna yang berada di daerah yang berlainan.

“Strategi ini bakal menyaksikan hasil tanaman setiap daerah di negeri Selangor dapat ditempah dan terlibat dalam sistem jual beli melalui sistem penghantaran yang efektif.

“Ini dapat mengukuhkan ekonomi penduduk atau usahawan setempat yang mempunyai kuasa langsung dalam menguruskan hasil produk mereka terutama sekali penduduk luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian Majlis Pelancaran Web Portal SELDEC dan Sistem Aplikasi SELDEC Rider di sini hari ini.

Sehingga kini, lebih 100 individu sebagai penghantar barangan telah terpilih untuk berdaftar dengan sistem tersebut.

Amirudin menambah, kempen pertama yang telah dijalankan bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan melalui program SELDEC Rider bagi tujuan operasi penghantaran barangan.

Jelas beliau, SELDEC menyediakan perkhidmatan menghantar barangan melalui SELDEC Rider yang terdiri daripada penunggang motor yang berkhidmat secara sambilan mahu pun sepenuh masa untuk seluruh kawasan Selangor.

”Sambutan yang diterima amat menggalakkan daripada golongan belia terutama mereka yang hilang pekerjaan.

“Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan Covid -19, pendaftaran telah dibuka kepada orang ramai untuk mendaftar bagi menambah pendapatan sampingan atau melakukan pembelian terus dari pengeluar,” katanya.

Selain itu, Amirudin memberitahu, Selangor Industrial Corporation (SIC) bahari sahaja melancarkan kempen kedua yang memberi peluang kepada usahawan di Selangor untuk menyertai program SELDEC secara percuma.

Sehingga kini ujarnya, sambutan amat menggalakkan daripada para usahawan yang mana lebih daripada 300 peniaga individu telah berdaftar terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kaum.

“SIC sedang mengusahakan pelbagai kemudahan untuk para usahawan SELDEC seperti kursus dan latihan keusahawanan kemudahan pinjaman dana dan menambah baik pengurusan produk dan kewangan.

“Kursus akan diadakan secara atas talian dan juga di kawasan terpilih bagi membimbing usahawan berniaga secara atas talian dengan kerjasama Koperasi Hijrah yang berusaha membantu pengusaha mengembangkan perniagaan mereka melalui bantuan kewangan yang mencecah sehingga RM50,000.

“Pihak SELDEC juga tidak mengenakan caj pendaftaran kepada usahawan yang mendaftar di dalam portal SELDEC,” katanya. – MalaysiaGazette