Home Nasional Hakim tak kompromi rayuan pembelaan kes anak Mat Sabu

Hakim tak kompromi rayuan pembelaan kes anak Mat Sabu

AMLA MACC Senior Enforcer US$6.94 million MEIO Hasanah case item Eric Chang 4 years old boy murder

KUALA LUMPUR – Beberapa kali, Hakim Majistret, Mohamad Aizat Abdul Rahim memberi bayangan kesalahan melibatkan kes dadah di negara ini bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh.

Oleh itu, dengan mengenakan hukuman paling setimpal sahaja boleh memberi pengajaran kepada pelaku dan juga masyarakat supaya tidak terjerumus dengan dadah atau berdepan dengan hukuman berat.

Sebentar tadi, Mohamad Aizat telah menjatuhkan hukum penjara lapan bulan kepada anak bekas Menteri Pertahanan, Ahmad Saiful Islam Mohamad selepas didapati bersalah terhadap tuduhan penyalahgunaan dadah di sebuah hotel terkemuka tahun lepas.

Mohamad Aizat Abdul Rahim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap anak kepada Mohamad Sabu.

Selain itu, Ahmad Saiful juga akan berdepan dengan pengawasan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan polis selama dua tahun sebaik selesai menjalani hukuman penjara.

Mohamad Aizat ketika membacakan keputusan berkata, keputusan itu diambil selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk hujah-hujah pendakwaan dan pembelaan, selain daripada keterangan daripada enam saksi selama perbicaraan berlangsung.

“Sememangnya kepentingan awam diambil kira terlebih dahulu daripada kepentingan OKT (orang kena tuduh) itu sendiri, kesalahan dadah bukan kecil memandangkan ia masih lagi berleluasa di negara ini. Aktiviri dadah juga dilaporkan secara meluas di media masa saban hari.

“Bukan sahaja kesalahan memiliki dadah sebaliknya ketagihan itu sendiri akan menyebabkan pelbagai permasalahan lain termasuklah masalah rumah tangga, kecederaan dan banyak lagi. Semuanya berpunca dari dadah.

“Walaupun mahkamah ada menimbangkan keadaan OKT yang merupakan satu-satunya penanggung tunggal untuk keluarganya namun pada masa sama perlu juga menyeimbangkan dengan kepentingan awam, memastikan jatuh hukum ini sebenarnya memberikan pengajaran kepada umum tentang bahaya najis dadah,” katanya panjang lebar.

Salah seorang daripada peguam bela Ahmad Saiful, Datuk Nicholas Kaw bangkit memberikan sedikit pendedahan tentang ‘nasib’ tertuduh seandainya hukuman berat dikenakan ke atasnya.

“Kami berharap mahkamah akan menimbangkan beberapa perkara termasuk ini adalah kesalahan pertama yang telah dilakukan oleh anak guam kami.

“Selain itu, beliau juga ketika ini adalah penanggung utama keluarga dengan seorang isteri dan tiga orang anak-anak kecil.

“Keluarga mereka memerlukan perhatian daripada tertuduh. Kami berharap hukuman penjara itu ditukar kepada denda kerana jika ada rekod penjara akan menjejaskan masa depan beliau kelak.

“Kami merayu supaya hakim menggunakan budi bicara dalam perkara ini,” hujahnya.

Bagaimanapun pendakwaan pula tampil memberikan sebab mengapa hukuman setimpal termasuk penjara itu patut dikenakan ke atas Ahmad Saiful yang sejak dari awal kes sehingga hari ini tetap berpendirian tidak bersalah.

Jelas Mohamad Aizat, sebenarnya ‘diskaun’ pengurangan hukuman berkemungkinan besar dapat diberikan seandainya Ahmad Saiful membuat pengakuan dari awal, sekali gus menjimatkan masa serta kos.

Selain daripada itu, Mohamad Aizat juga menolak permohonan pembelaan mahu mendapatkan interim stay hukuman digantung sementara menunggu rayuan selesai.

Oleh itu, Mohamad Aizat memerintahkan supaya Ahmad Saiful mula menjalani hukuman penjara bermula hari ini sementara pasukan pembelaan mengemukakan permohonan tersebut secara rasmi.

Ketika hukuman itu dijatuhkan, Ahmad Saiful kelihatan menundukkan kepalanya tanpa memberikan apa-apa reaksi walaupun pada awalnya kelihatan sedikit riang serta sempat bercakap dengan barisan peguamnya.

Kelibat bapanya mahupun anggota keluarga yang lain tidak kelihatan hari ini menemani tertuduh.

Pada 13 Jun lalu, Ahmad Saiful Islam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas dakwaan menggunakan dadah THC, yang juga dadah terdapat pada ganja di pusat hiburan, Hotel W, di Kuala Lumpur pada 2.05 pagi, 5 Januari 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Sepanjang prosiding perbicaraan bermula 15 Oktober 2019, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatin Mohamad Farid memanggil seramai enam saksi bagi memberi keterangan.

Menurut laporan media, pada 6 Januari 2019, Ahmad Saiful dan seorang lagi rakannya ditahan selepas didapati positif dadah di sebuah pusat hiburan di tingkat 12 sebuah hotel di Jalan Ampang di Kuala Lumpur.

Anak ketiga Mohamad itu ditahan dalam Ops Pusat Hiburan Bersepadu oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, pada 12.30 tengah malam. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Anak Mat Sabu dipenjara lapan bulan

1 Komen

  1. Pesalah jenayah ini merupakan paling sukar pihak polis mengesan keputusan “kencingnya” sehingga hampir setahun. Pesalah penjenayah ini telah mencipta sejarah mungkin akan direkod dalam Malaysian Guinness Books. Pesalah penjenayah ini jika menjadi pemimpin party PAN yang selalu menipu rakyat pasti tidak dapat dikesan perbuatan jenayahnya.

Comments are closed.