Home Ekonomi Pengguna Malaysia terajui penggunaan dompet mudah alih

Pengguna Malaysia terajui penggunaan dompet mudah alih

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia mendahului dalam penggunaan dompet mudah alih/digital di Asia Tenggara, diikuti Filipina (36 peratus), Thailand (27 peratus) dan Singapura (26 peratus), menurut Kajian Impak Mastercard 2020.

Keputusan Edisi Pasaran Malaysia menunjukkan sebanyak 40 peratus daripada pengguna di Malaysia dilaporkan menggunakan lebih banyak dompet mudah alih/digital, diikuti kad debit tanpa sentuhan (26 peratus) dan kad kredit tanpa sentuhan (22 peratus).

Oleh itu, penggunaan tunai merosot 64 peratus sejak awal pandemik COVID-19.

Perubahan dalam cara pembelian menunjukkan peralihan di seluruh rantau dengan pasaran lain seperti Singapura, Filipina dan Thailand turut mengurangkan penggunaan tunai, masing-masing sebanyak 67 peratus, 64 peratus dan 59 peratus serta menyaksikan peningkatan yang sama dalam penggunaan semua kaedah pembayaran tanpa sentuhan.

Kajian turut menyaksikan penggunaan pembayaran digital di Malaysia turut lebih tinggi berbanding pasaran lain di Asia Tenggara.

Pada April, pengguna melakukan lebih banyak pembayaran tanpa tunai termasuk pembayaran mudah alih dan QR sebanyak 18 peratus, berbanding 16 peratus di Filipina, 15 peratus di Singapura dan 15 peratus di Thailand.

Selain itu, negara turut menyaksikan peningkatan dalam aktiviti digital terutamanya membeli-belah dalam talian dan penggunaan pembayaran digital, yang juga lebih tinggi berbanding pasaran lain di Asia Tenggara.

Hampir separuh daripada pengguna yang dikaji di Malaysia melaporkan peningkatan membeli-belah dalam talian dalam tempoh sama.

Rakyat Malaysia banyak meluangkan masa dalam melayari Internet untuk berita dan hiburan (75 peratus), diikuti penstriman video dalam talian (57 peratus), rangkaian sosial (55 peratus) dan penghantaran makanan atau barangan runcit ke rumah (50 peratus).

Selain itu, sebanyak 64 peratus daripada rakyat Malaysia berkata mereka akan membeli-belah dalam talian dalam kekerapan yang sama seperti sekarang atau sebelum pandemik walaupun sekatan telah ditarik balik.

Pada masa sama, pengguna menjangka untuk meneruskan penghantaran ke rumah (54 peratus) dan bekerja dari rumah (45 peratus), menurut kajian itu.

Di Malaysia, 97 peratus daripada responden berasa positif atau neutral mengenai bagaimana kerajaan dan bank telah membantu mereka menghadapi krisis ini.

Sementara itu, Presiden Bahagian Mastercard Pasaran Pesat Membangun Asia Tenggara Safdar Khan berkata syarikat komited untuk menggunakan kuasa data untuk membolehkan perniagaan dalam semua saiz menyesuaikan dengan keperluan, pilihan dan tata laku pengguna yang berubah melalui e-dagang, had pembayaran tanpa sentuhan yang meningkat dan menerajui peralihan kepada tanpa sentuhan di rantau ini.

Data diperoleh daripada 10,000 pengguna dan/atau profesional perniagaan dalam 10 pasaran di rantau Asia Pasifik. – MalaysiaGazette