Home Utama Kes positif Covid-19 dijangka sifar pertengahan Julai

Kes positif Covid-19 dijangka sifar pertengahan Julai

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Kes jangkitan Covid-19 di Malaysia dijangka mencatatkan pencapaian sifar sekitar pertengahan Julai depan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah meletakkan keyakinan unjuran itu mampu dicapai jika rakyat Malaysia kekal patuh dengan semua prosedur operasi standard (SOP) oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

Langkah itu, katanya, termasuklah cara individu mengawal diri menerusi penjarakan sosial, kerap mencuci tangan, menjaga kebersihan dan memakai pelitup separuh muka.

“Selepas dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kita tidak mencatatkan peningkatan kes mendadak dan jumlah kes baharu masih terkawal bererti kepatuhan rakyat sangat tinggi.

“Jumlah kes baharu juga semakin berkurangan dengan beberapa kali mencatatkan satu angka dalam sehari dan mungkin dalam sebulan lagi, jika rakyat patuh SOP dan nasihat KKM, kita akan berjaya capai sifar kes baharu.

“Tindakan untuk kita berjaya capai sifar kes Covid-19 ketika ini bukan pada KKM, sebaliknya bergantung sama ada rakyat patuh SOP atau tidak,” katanya pada sidang media Covid-19 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, pihaknya ketika ini turut memberi tumpuan kepada warga asing yang berada Malaysia secara sah.

“Kita sudah selesaikan masalah melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI), sekarang ini kita perlu melihat kepada pendatang asing dengan izin (PADI).

“Kalau mereka juga patuh SOP serta mengambil langkah pencegahan dan menjaga kebersihan (penularan kes Covid-19 boleh dikawal),” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KKM berpandangan semua sektor di negara ini perlu dibuka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa sehingga 31 Ogos ini.

Keputusan itu kata beliau, tertakluk kepada amalan penjarakan sosial yang disarankan oleh kementerian dalam usaha mencegah penularan Covid-19. – MalaysiaGazette