Home Nasional Palsukan tandatangan ADUN, seorang kontraktor, bekas penyelia pejabat ditahan

Palsukan tandatangan ADUN, seorang kontraktor, bekas penyelia pejabat ditahan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang kontraktor dan bekas penyelia pejabat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana disyaki memalsukan tandatangan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi tujuan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM39,000.

Menurut sumber SPRM, suspek lelaki berusia 40 dan 53 tahun itu ditahan kira-kira jam 3.45 petang tadi selepas dipanggil memberi keterangan di Pejabat SPRM cawangan Klang, Selangor.

“Mereka disyaki memalsukan tandatangan seorang ADUN dalam borang Kelulusan Pengeluaran Peruntukan ADUN untuk dikemukakan kepada Pegawai Daerah, tahun lepas,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Sumber itu berkata, borang permohonan tersebut bertujuan menuntut bayaran bagi bulan April hingga Julai tahun lepas melibatkan kerja-kerja pembekalan yang tidak disempurnakan.

Pengarah SPRM Selangor, Alias Salim, ketika dihubungi, mengesahkan penahanan tersebut.

“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Klang pada jam 9 pagi esok untuk permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan tuntutan palsu,” katanya.- BERNAMA