Home Seni Hidup NOW kutuk sikap lepas tangan suami, anggap zalim

NOW kutuk sikap lepas tangan suami, anggap zalim

Haniza Mohd Talha

KUALA LUMPUR – Nation Of Women (NOW) mengecam sekeras-keras sikap suami lepas tangan kepada seorang wanita yang tular selepas menerima bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) baru-baru ini.

Presiden NOW, Haniza Talha berkata, hantaran LZS berkenaan kes ibu muda yang berusia 30 tahun tidur di dalam kereta bersama enam orang anaknya setelah diceraikan suami menyebabkan hatinya tersentuh.

“Saya sayu apabila wanita tersebut juga disyaki menghidap kanser payu dara tetapi belum menerima rawatan susulan mungkin kerana kesempitan wang. Anaknya yang berusia dua tahun mempunyai masalah jantung berlubang manakala seorang lagi yang berusia lima bulan pula menghidap ketumbuhan di leher.

“Begitu besar sungguh dugaan ibu tersebut,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Haniza, NOW mengecam dengan sekeras-kerasnya atas tindakan bekas suami wanita berkenaan yang melepaskan tanggungjawab sebagai seorang ayah dengan hanya membiarkan keluarganya hidup dalam keadaan terkontang-kanting.

“Lelaki tersebut layak dipanggil zalim kerana tidak ada perasaan langsung terhadap nasib bekas isteri dan anak-anaknya,” ujarnya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ibu 6 anak ‘tumpang’ mandi di tandas stesen minyak