Home Sukan Tutup mulut kalau sekadar pandai bercakap – Annuar Musa

Tutup mulut kalau sekadar pandai bercakap – Annuar Musa

Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, memberi amaran kepada pihak tertentu yang menulis bukan-bukan dalam media sosial mengenai isu pertukaran pemain dan tunggakan gaji melibatkan pasukan Kelantan.

Ahli Parlimen Ketereh itu juga menyifatkan perbuatan pihak luar itu sebagai tidak bertanggungjawab dan memalukan.

Katanya, setiap komen yang diketengahkan dalam media sosial perlu disertai fakta tepat dan penuh bertanggungjawab tanpa berbaur fitnah.

“Saya ingin memberi amaran kepada pihak yang ‘mendakwa dri sebagai pro tapi mencampakkan profesionalisme mereka dalam longkang.

“Mereka memilih untuk menulis dalam media sosial tanpa ada tanggungjawab untuk memeriksa fakta dan peraturan. Tutup mulut kalau sekadar pandai bercakap,” bidas beliau dalam akaun Facebooknya hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Annuar berkata, pertukaran pemain tidak semestinya menambah kos terutama bila sesebuah pasukan mempunyai perjanjian tertentu dengan ejen dan pemain yang membabitkan prestasi atau tahap kecergasan mereka.

Katanya, pertukaran pemain sebenarnya bertujuan memperbaiki prestasi pemain dan pasukan selain memperbaiki aliran tunai pasukan.

“Ia dibuat dengan mengambil kira analisis manfaat kos (cost benefit analysis) secara teliti. Tutup mulut jika kamu tidak pernah mengendalikan pasukan profesional dan tidak pernah berada dalam kedudukan memikul tanggungjawab mendapatkan wang bagi membayar gaji pemain.

“Kalau sekadar hanya tahu makan gaji usah berlagak profesional,” kata beliau .

Beliau turut memuat naik paparan skrin laporan berita tentang Persekutuan Pemain Profesional Antarabangsa (FFIPro) .

FFIPro dalam laporan itu menyifatkan tindakan KAFA menandatangani pemain import baharu tanpa menyelesaikan tunggakan gaji pemain lama sebagai memalukan.

Annuar Musa juga mengeluarkan amaran terhadap pemain pasukan yang turut mengeluarkan kenyataan tidak berasas.

“Malah kepada pemain yang suka main facebook atau Twitter, kami telah lama bertolak ansur. Kalau sekadar tau ‘makan gaji’ usah berlagak profesional….

“Mengeluarkan kenyataan tidak tepat mengenai pasukan adalah satu perlanggaran kontrak dan sekiranya ia tidak dihormati, pasukan juga berhak untuk tidak bersimpati terhadap kamu.

“Sebagai penaja kita harus terus membantu pasukan memperbaiki prestasi pasukan yang kami taja terutama pasukan yang sentiasa dicemburui dan sering dianiayai,” katanya. – MalaysiaGazette