CHINI – Hari ketujuh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini semakin hangat apabila pengundi-pengundi mula meluahkan satu demi satu masalah yang dihadapi mereka selama ini.
Antara yang diluahkan kepada MalaysiaGazette adalah isu ketiadaan mesin dialisis yang menyukarkan proses dialisis terhadap pesakit buah pinggang.
Menurut Iris Ishak, beliau mempersoalkan mengapa bandar Chini tidak dibekalkan sebarang mesin dialisis sedangkan kes buah pinggang semakin meningkat.
“Sepatutnya mesin dialisis itu sudah ada lama sebelum ini lagi. Kenapa susah pihak kerajaan nak adakan mesin ini untuk rakyat Chini.
“Pesakit buah pinggang terpaksa pergi jauh sampai ke Pekan dan Muadzam untuk dialisis sahaja dan ambil masa yang panjang,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Jelas beliau, ini membahayakan semua pesakit itu kerana terpaksa memandu jauh selain mengalami keletihan semata-mata untuk pulang ke Chini.
“Keadaan mereka sudah lesu dan nak memandu balik ke rumah sendiri dan itu sudah jadi satu risiko kepada mereka yang lemah.
“Kenapa kerajaan pusat, negeri dan DUN sendiri tidak ambil berat mengenai pesakit buah pinggang yang semakin hari semakin bertambah,” keluh Iris lagi.
Seorang lagi pengundi Chini, Abdul Rahman Osman, 71 turut mempersoalkan tugas jawatankuasa yang mengelolakan Felda.
Ujarnya, sepatutnya jawatankuasa itu perlu mengemukakan cadangan khas untuk membeli mesin-mesin dialisis tersebut dan tidak mengemukakan alasan.
“Mesin dialisis ini tidak mahal tapi peruntukan untuk orang yang boleh kendalikan mesin itu yang mahal.
“Felda ada jawatankuasa, ada JKK, apa kerja mereka. Mereka kena suarakan isu ini, benda macam ini pun tidak boleh selesai,” katanya.
Abdul Ghafar Abdul Hamid, 66 turut melemparkan cadangan agar pihak berkuasa tempatan membuka lebih banyak bank di bandar ini.
Jelasnya, keberadaan tiga buah mesin ATM di sekitar Chini ini tidak mencukupi bagi menampung keperluan penduduk untuk mengeluarkan wang masing-masing.
Malah katanya, tiada premis bank di sini juga menyukarkan penduduk untuk urusan memasukkan wang mahupun melakukan sebarang transaksi yang melibatkan bank.
“Satu bank pun tak ada di Chini. Bandar Muadzam tu saya lalu tidak ada hutan lagi dah, tapi bank di Muadzam dah berapa.
“Ini wakil rakyat dan Parlimen Pekan. Sepatutnya satu bank disediakan di sini. Yang ada menyediakan ATM ini kadang baik, kadang tergendala.
“Kami nak bank di sini. Sudah banyak tahun PRU, tapi tidak ada apa, asyik rosak,” katanya.
Cadangan itu perlu kerana peratusan penduduk di Chini semakin meningkat dan ditambah dengan guru dan kakitangan kerajaan yang bekerja di Chini menyebabkan permintaan terhadap perkhidmatan bank semakin meningkat.
“Sini lebih 20,000 pengundi termasuk cikgu, orang kakitangan kerajaan dan Felda.
“Segerakan bank di sini dan anak peneroka beri kerja kerana generasi kedua tidak ada kerja. Anak-anak Felda naik motosikal ke hulu ke hilir,” katanya.
PRK DUN Chini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain dan dua calon bebas, iaitu Mohd Shukri Mohd Ramli dan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin.
SPR menetapkan PRK itu pada 4 Julai ini manakala tarikh mengundi awal pada 30 Jun.
PRK julung kali diadakan pada musim pandemik Covid-19 itu susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 7 Mei lalu kerana serangan jantung. – MalaysiaGazette