KUALA LUMPUR – Galeri Anjung Warisan dan Kesenian Islam (Aura Islam) di Anjung Neighbourhood Centre di Iskandar Puteri, Johor kembali dibuka selepas ditutup sejak 31 Mac lalu.
Aura Islam dalam satu makluman berkata, pihaknya akan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang disyorkan oleh kerajaan demi kesihatan dan keselamatan pengunjung.
“Inilah waktunya untuk mengubati kerinduan pada Rasulullah SAW melalui artifak-artifak peninggalan Baginda,” kata galeri itu dalam satu kenyataan laman Facebook di sini hari ini.
Aura Islam yang merupakan galeri dibuka sejak September tahun lalu sehingga November 2021 mempamerkan lebih 120 koleksi artifak peribadi Nabi Muhammad SAW selain koleksi artifak para sahabat baginda, koleksi empayar kerajaan Uthmaniyyah dan Abbasiyah.
Turut dipamerkan, beberapa kiswah kaabah, tandu, al-Quran emas, senjata serta kelengkapan perang peninggalan kerajaan Uthmaniyyah, katanya.
Galeri tersebut dibuka setiap hari mulai 9 pagi hingga 5 petang dengan tiket berharga RM30 bagi dewasa dan RM10 bagi warga emas, kanak-kanak berumur enam hingga 12 tahun, Orang Kurang Upaya serta pelajar institusi pengajian tinggi.
Penganjur galeri itu, Manhajj Brothers Sdn. Bhd. sebelum ini menyasarkan kira-kira 500,000 orang pengunjung ke pameran koleksi artifak peribadi Nabi Muhammad SAW di galeri itu sepanjang tahun ini.
Pengarah Urusannya, Datuk Anuar Hassan yakin sasaran itu mampu dicapai berdasarkan sambutan menggalakan lebih 5,000 pengunjung sejak dibuka September tahun lalu. – MalaysiaGazette