KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) telah menyemak dan menurunkan anggaran trafik penumpang tahun ini antara 48.7 peratus dan 50.3 peratus tahun ke tahun.
Ini bermakna unjuran trafik penumpang adalah antara 54.3 juta pada tahun ini dan 56.0 juta penumpang pada tahun depan.
Penurunan unjuran itu seiring dengan unjuran trafik penumpang tahun ini yang diramal turun antara 36.2 peratus dan 38.1 peratus tahun ke tahun akibat pandemik Covid-19.
Menurutnya, seramai 19.6 juta penumpang dicatatkan dalam tempoh lima bulan pertama tahun 2020 iaitu penurunan trafik penumpang sebanyak 55.2 peratus tahun ke tahun.
Penurunan ini sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh sekatan perjalanan yang dikenakan oleh negara-negara di seluruh dunia bagi mengawal penyebaran Covid-19, termasuklah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia yang berkuatkuasa pada 18 Mac 2020.
Sekatan ini mengakibatkan pembatalan penerbangan oleh syarikat-syarikat penerbangan Malaysia dan juga asing.
Kebanyakan penumpang tidak dapat melakukan perjalanan melalui udara dan ada juga yang memilih untuk tidak melakukan perjalanan melalui udara.
Suruhanjaya juga menganggarkan sebanyak 35.2 peratus adalah pembatalan tempat duduk domestik dan 42.9 peratus adalah pembatalan tempat duduk antarabangsa yang dijadualkan bagi tahun 2020 iaitu sebanyak 44.8 juta tempat duduk.
Pada awal Jun 2020, sebanyak 38.8 juta tempat duduk telah pun dibatalkan oleh syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa.
Jumlah ini adalah lebih tinggi daripada anggaran Mavcom sebelum ini iaitu sebanyak 31.0 juta tempat duduk bagi tahun 2020.
Syarikat-syarikat penerbangan didapati masih melaraskan kapasiti tempat duduk dengan mengambil kira faktor seperti permintaan dan sekatan perjalanan.
Menurutnya, sehingga awal Jun 2020, syarikat-syarikat penerbangan Malaysia telah membatalkan sebanyak 29.6 juta tempat duduk yang dijadualkan bagi tahun 2020 berbanding 28.3 juta tempat duduk pada akhir Mei 2020.
Begitu juga dengan syarikat-syarikat penerbangan asing yang beroperasi di Malaysia yang telah mengurangkan kapasiti tempat duduk sebanyak 9.2 juta yang dijadualkan bagi tahun 2020 sehingga awal Jun berbanding dengan 8.5 juta tempat duduk pada akhir Mei 2020.
Oleh itu, pendapatan berisiko bagi syarikat-syarikat penerbangan Malaysia dan asing bagi tahun 2020 dianggarkan berjumlah RM11.3 bilion dan RM4.6 bilion (anggaran sebelumnya: RM6.8 bilion dan RM5.0 bilion), secara kolektifnya mewakili 51.1 peratus daripada jumlah hasil tambang pada tahun 2019.
Bagi pengendali aerodrom, Mavcom menganggarkan pendapatan yang diperoleh daripada Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) yang berisiko adah RM0.5 bilion (anggaran sebelumnya: RM0.4 bilion). Jumlah ini mewakili 33.4 peratus daripada jumlah pendapatan PSC pada tahun 2019.
Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin berkata, impak negatif Covid-19 terhadap industri penerbangan adalah sangat ketara dan tidak dapat dibandingkan dengan krisis-krisis sebelum ini, oleh itu, kadar pemulihan bagi industri penerbangan sukar diramalkan.
Walau bagaimanapun, pelonggaran sekatan pergerakan di Malaysia akan mempercepatkan pemulihan bagi pasaran domestik.
Menurutnya, kawalan imigresen dan kuarantin di Malaysia dan tempat-tempat lain di samping kesediaan penumpang untuk menggunakan pengangkutan udara dalam tempoh ini juga akan mempengaruhi kadar pemulihan industri untuk kembali kepada tahap pra-Covid-19.
Perjalanan antarabangsa secara selamat dan pelaksanaan langkah-langkah keselamatan seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) di samping menguruskan kesan Covid-19 ke atas perjalanan udara dapat membantu merancakkan semula industri ini. – MalaysiaGazette