Home Utama Malaysia perketat kawalan keselamatan di sempadan

Malaysia perketat kawalan keselamatan di sempadan

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien.
KUALA LUMPUR – Berikutan beberapa siri letupan bom di negara-negara jiran, Malaysia mengambil inisiatif memperketat kawalan keselamatan negara.
Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Hishamuddin Hussien dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya membuat pemantauan secara dekat insiden serangan bom yang berlaku di Bangkok, Jakarta dan Mindanao minggu ini.
“Saya telah mengarahkan ATM meningkatkan kawalan sempadan di seluruh negara. Ini kerana, kesemua insiden tersebut berlaku di tiga buah negara yang berjiran dengan Malaysia.”
Tambahnya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut mengambil inisiatif terhadap keselamatan di sempadan perairan Sabah yang juga menjadi laluan utama keluar masuk negeri itu dengan selatan Filipina.
“Bagi meningkatkan kawalan serta memperkukuh keselamatan Sabah, ATM akan melaksanakan penambahan aturgerak aset. Inisiatif ini melibatkan penambahan rondaan dua buah kapal yang akan diaturgerak hari ini.
“ATM turut menempatkan anggota Quick Reaction Force (QRF) bersama trup yang beroperasi di pulau-pulau sekitar perairan Sabah, serta meningkatkan rondaan bot-bot tempur di kawasan yang dikenalpasti sebagai laluan masuk dari Selatan Filipina.
“Selain itu, ATM juga akan melaksanakan penambahan 1 kompeni infantri Tentera Darat di kawasan Cenderawasih, Lahad Datu. Penambahan trup tersebut dilaksanakan bertujuan memastikan kawasan pantai di Lahad Datu terkawal sepenuhnya.
Terdahulu, 24 orang cedera dalam insiden letupan bom di sebuah hospital di Bangkok disusuli letupan bom di Kampung Melayu, Jakarta Timur, yang meragut tiga nyawa anggota polis Indonesia.
Seterusnya insiden pertempuran antara kumpulan militan dengan tentera Filipina di Bandar Marawi, Mindanao, yang mengakibatkan 21 orang terbunuh – MalaysiaGazette