PUTRAJAYA – Sebanyak enam kes positif baharu Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam sehingga pukul 12 tengahari tadi manakala 23 kes telah pulih dan dibenarkan discaj.
Berikutan itu jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19
berjumlah 191 kes dan jumlah kumulatif kes positif virus itu adalah sebanyak 8,606 kes.
Ketua Pengarahnya Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes harian penularan virus itu dalam kalangan warga negara adalah kurang daripada lima kes bagi enam hari berturut-turut.
“Untuk pertama kalinya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, kes aktif adalah kurang daripada 200 pada hari ini,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.
Mengulas lanjur, beliau memberitahu, daripada enam kes baharu yang dilaporkan, lima kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan empat warga Malaysia dan seorang bukan warga yang dibenarkan masuk ke negara ini di atas urusan kerja.
“Manakala satu kes lagi iaitu kes keenam penularan di dalam negara pula adalah warganegara Malaysia, iaitu kes saringan tempat kerja di Kuala Lumpur, tetapi tiada penularan dalam negara dalam kalangan bukan warganegara dilaporkan pada hari ini,” ujarnya.
Menurut Noor Hisham, sehingga kini, sebanyak dua kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan alat pernafasan.
Pada masa sama, tambah beliau, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.
“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes (1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya sambil menambah peperangan menghadapi Covid-19 belum tamat dan masyarakat disarankan agar kekal berwaspada dan terus patuh kepada SOP serta saranan yang ditetapkan. – MalaysiaGazette