KUALA LUMPUR – Prihatin dengan masalah yang dihadapi beberapa majikan yang belum menerima bayaran Program Subsidi Upah (PSU), Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Mohamed Azman Aziz Mohammed meminta mereka menghubunginya terus melalui emel [email protected]
Katanya, sebagai sebuah organisasi yang prihatin, PERKESO memandang serius kesulitan tersebut, justeru mulai hari ini mereka boleh menyalurkan terus masalah tersebut kepadanya.
“PERKESO akan sedaya-upaya memastikan bayaran dibuat kepada semua majikan yang layak menerima bantuan subsidi upah,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut Mohamed Azman, hasil semakan mendapati kes-kes yang telah ditolak oleh pihak bank disebabkan terdapat kesilapan pada nombor BRN (Business Registration Number) atau nombor akaun yang diberi dalam permohonan PSU.
Katanya, ada akaun bank majikan yang tidak aktif ataupun nombor telefon majikan tidak dapat dihubungi.
Bagi majikan yang masih belum menerima bayaran PSU, mereka boleh hubungi PERKESO di talian hotline 1-300-22-8000 atau hadir ke mana-mana pejabat PERKESO.
Perluasan PSU syang diumumkan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan terhadap kesukaran yang dihadapi majikan dan pekerja akibat krisis Covid-19.
Untuk membantu majikan terus beroperasi dengan mengekalkan para pekerja di waktu yang mencabar ini, kerajaan juga telah melonggarkan syarat-syarat di bawah PSU iaitu majikan dibenarkan untuk melaksanakan pengurangan waktu bekerja mingguan diikuti dengan pengurangan gaji dengan persetujuan pekerja.
Majikan juga membenarkan pekerja yang mengambil cuti tanpa gaji untuk menerima subsidi upah secara langsung – bagi sektor berkaitan pelancongan dan sektor yang tersenarai dalam aktiviti yang dilarang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan. – MalaysiaGazette