Setiap kepayahan pasti ada jalan penyelesaiannya, begitulah yang ada pada pemikiran seorang anak muda berasal dari Sabah ini.
Mohd Shairin Saimin, 35, yang sudah menetap lebih 12 tahun di Ampang, Selangor mula mendapat buah fikiran untuk mengadakan servis ‘mobile barber’ ini ekoran desakan hidup sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Akur terhadap saranan kerajaan sewaktu PKP, Mohd Shairin terpaksa menutup kedai gunting rambut miliknya tapi dalam masa sama dia memikirkan cara bagaimana mahu meneruskan kelangsungan hidup di ibu kota yang penuh cabaran.
Cetusan idea ‘mobile barber’ itu muncul secara tidak sengaja ketika dia sedang menunggang motosikal.
“Saya tiba-tiba terfikir alangkah bagus jika saya sendiri yang menuju ke lokasi para pelanggan untuk menggunting rambut mereka.
“Jadi dengan bermodalkan sedikit simpanan yang ada, saya mengubah motosikal untuk dijadikan seperti tempat gunting rambut bergerak,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Dalam masa sama, Mohd Shairin turut mempunyai aplikasi tersendiri selain mencetak ‘flyers’ bagi memudahkan pelanggan untuk menghubunginya.
Jelasnya lagi, dia menghadkan seramai 10 orang setiap hari selain amat menitik beratkan soal SOP antaranya membersihkan peralatan menggunakan cecair nyahkuman sebelum dan selepas selesai memberikan servis kepada pelanggan.