KUALA LUMPUR – Syarikat Prolintas, pemegang konsesi bagi projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) memberi kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengekang penyakit malaria daripada terus merebak.
Menurutnya, jangkitan disyaki berpunca daripada seorang pekerja pembinaan warga Indonesia yang mendapat jangkitan dari Aceh, Indonesia dan telah merebak kepada rakan sekerja serta penduduk berdekatan termasuk seorang warganegara Malaysia.
Kes terakhir dilaporkan pada 12 Jun 2020 dan hingga kini tiada lagi laporan jangkitan baharu.
Katanya, SUKE juga akan terus menjalankan inisiatif berterusan bagi membanteras penyakit malaria ini dengan melaksanakan tindakan pembersihan di penempatan pekerja dan tapak pembinaan, merobohkan penempatan sementara dan membina semula penempatan yang lebih tersusun untuk memastikan kebersihan sekeliling terjaga.
Selain itu, penyemburan cecair bagi tujuan kawalan vektor (lavarciding), melantik operator kawalan serangga (PCO) yang berdaftar dan diluluskan oleh KKM bagi aktiviti semburan kabus (fogging) secara berkala serta melantik warden bagi mengawal pergerakan pekerja yang dihadkan dari 9 malam hingga 6 pagi dan pemantauan di setiap pintu masuk tapak binaan, mengemaskini senarai pekerja di tapak bina bagi tujuan pemantauan dan pengedaran maklumat berhubung bahaya penyakit malaria serta kesedaran mengenai tindakan pencegahan kepada pekerja binaan dan penduduk sekitar.
Prolintas berkata, pemeriksaan kesihatan secara berterusan terhadap semua pekerja warga asing telah dilaksanakan bagi memastikan kesihatan mereka sentiasa berada di dalam keadaan baik.
Malah, kesemua pekerja juga telah dibekalkan dengan beberapa peralatan pencegahan penyakit malaria seperti krim penghalang nyamuk yang mengandungi diethytoluamide dan kelambu berubat.
“Prolintas sentiasa komited dalam memastikan keselamatan di tapak pembinaan dan menyokong penuh usaha kerajaan dalam memastikan kesejahteraan orang awam,” ujarnya. – MalaysiaGazette