PEKAN, 27 Jun — Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM9.5 juta bagi menyelamatkan projek rumah generasi kedua peneroka di Felda Chini 3 di sini, yang terbengkalai sejak tahun 2017 akibat kontraktor bermasalah.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menerima kelulusan peruntukan itu pada April lepas, yang akan digunakan untuk menyiapkan 29 unit rumah dan kerja infrastruktur di kawasan berkenaan.
Selain itu, Wan Rosdy berkata, Felda juga sedang berusaha mendapatkan peruntukan sebanyak RM6.4 juta untuk membina 71 rumah di situ, bagi memastikan rancangan asal membina 100 unit rumah generasi kedua di Felda Chini 3 dapat dilaksanakan.
“Kerja untuk menyiapkan 29 unit rumah itu dijadualkan bermula pada September ini dengan jangkaan siap dalam tempoh setahun. Kita sudah memulakan usaha menyelamatkan projek ini sejak beberapa tahun lalu namun ia mengambil masa sebelum Felda memperoleh peruntukan tahun ini.
“Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini sebelum ini, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun juga kerap menyuarakan isu rumah itu dalam persidangan dewan. Saya juga pernah meninjau tapak projek terlibat semasa lawatan bersama arwah,” katanya semasa ditemui di sini, hari ini.
Mengulas mengenai kronologi projek itu, Wan Rosdy berkata, lantikan kontraktor untuk membina 100 unit rumah setingkat itu dibuat pada September 2013 dan Felda telah mengeluarkan notis amaran terakhir pada Januari 2018 disusuli tindakan menamatkan kontrak empat bulan kemudian.
Wan Rosdy berkata, usaha menyelamatkan projek itu mengambil masa ekoran Felda ketika itu perlu berbincang dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi berhubung penyaluran peruntukan sebelum dibawa ke Kementerian Kewangan untuk kelulusan.
“Usahanya sudah lama dilakukan, sejak dari Allahyarham masih ada namun isu ini masih dijadikan modal politik ekoran Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang sedang berlangsung walaupun perkara itu tidak betul.
“Malah, saya difahamkan Allahyarham sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarah di Felda juga kerap membawa isu tersebut, namun beliau tidak dapat melihat hasil perjuangannya yang kini diteruskan Felda,” katanya.
PRK DUN Chini, dengan pengundian pada 4 Julai ini, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas iaitu ahli perniagaan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, serta Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, yang merupakan penulis blog.
PRK itu diadakan ekoran kematian Abu Bakar, 60, pada 7 Mei lepas di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung. – Bernama