SERDANG – Harga ikan dan sayur-sayuran di Pasar Borong Selangor didapati naik antara 20 hingga 50 peratus sejak hari Jumaat lalu.
Kenaikan itu sememangnya sudah dijangkakan kerana para peniaga telah memberi ‘isyarat’ itu kepada MalaysiaGazette yang membuat tinjauan harga pada bulan lalu.
Dalam tinjauan di pasar sama didapati hampir semua harga ikan naik dan kenaikan lebih besar bagi ikan-ikan ‘mewah’.
Beberapa peniaga yang ditemui berkata, harga ikan naik disebabkan permintaan yang dijangka meningkat pada bulan bulan puasa.
“Sejak Rabu lalu, harga ikan mula naik. Memang semua harga ikan naik,” katanya.
Tinjauan yang dijalankan mendapati harga ikan kembung saiz sederhana yang dijual antara RM8 hingga RM10 sekilogram menjadi RM12 manakala ikan cencaru RM8 berbanding RM7 sebelum ini.
Ikan selar pula yang kebiasaanya sekitar RM7 hingga RM8 sekilogram naik RM9 sekilogram.
Seorang peniaga, Asmad berkata, harga ikan yang dijual juga bergantung kepada kesegarannya. Ikan yang datang pada semalamnya lebih murah berbanding bekalan yang diperoleh pada hari tersebut.
Disebabkan itu, pelanggan yang teliti akan mempersoal mengapa saiz ikan yang sama tetapi berbeza harga.
Kenaikan ketara adalah bagi harga ikan merah, bawal hitam, jenahak, nyok-nyok, tenggiri dan ikan.
Ikan merah saiz sederhana dijual dari RM32 sekilogram, ikan nyok-nyok RM27 berbanding RM22 sebelum Ramadan.
Ikan bawal hitam pula RM26 sekilogram dan kerapu RM28 sementara ikan jenahak laut (kecil) RM28 sekilogram, naik hampir RM10.
Udang bersaiz sederhana pula dijual antara RM26 hingga RM33 sekilogram dan sotong pula RM15 hingga RM28 dan ikan pari RM23 sekilogram berbanding sekitar RM16 hingga RM18 sekilogram sebelum ini.
Bukan sahaja ikan, sayur juga naik harga antara 30 hingga 50 peratus, kata Samuri kerana ada bekalan terhad.
Harga terung, katanya, naik kepada RM9 sekilogram, bayam dan sawi naik kepada RM5 berbanding RM3. Cuma harga cili masih kekal sama. – MalaysiaGazette
Comments are closed.