Home Utama DUN Chini: PRK terakhir sebelum PRU15?

DUN Chini: PRK terakhir sebelum PRU15?

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak (tiga kanan) diiringi Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan (dua kiri) dan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain (dua kanan) menyempurnakan gimik perasmian pada Program Perasmian Jentera Gagasan Generasi Baru Muafakat Nasional sempena Pilihan Raya Kecil N.23 Chini di Dewan Dara Chini, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 27 JUN 2020.

CHINI – Selepas menjangkakan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) akan diadakan penghujung tahun ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan juga menjangkakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini adalah pilihan raya terakhir.

Justeru itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Rantau berkata, semua parti komponen dalam Muafakat Nasional harus bersiap sedia bagi menghadapi PRU15, kelak.

“PRK Chini boleh kita katakan saya harap PRK terakhir sebelum kita adakan PRU15, ia sebagai latihan kepada jentera parti untuk hadapi PRU nanti,” katanya selepas perasmian jentera Gagasan Generasi Baru Muafakat Nasional di Dewan Dara Bandar Chini.

Ia dirasmikan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak.

Turut hadir calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain.

Sebelum ini, Mohamad Hasan mencadangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRU15.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada Program Perasmian Jentera Gagasan Generasi Baru Muafakat Nasional sempena Pilihan Raya Kecil N.23 Chini di Dewan Dara Chini, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 27 JUN 2020.

Mohamad pada Khamis berkata, pembubaran Parlimen perlu dilakukan segera bagi memastikan kerajaan yang memerintah mempunyai mandat yang baik dan diyakini.

Mengulas mengenai perkara itu, Mohamad menjelaskan, cadangan itu bagi memastikan kerajaan Perikatan Nasional terus mendapat mandat yang kukuh daripada rakyat.

“Perdana Menteri rasanya mesti fikir (cadangan bubar Parlimen) dia masih ada atau tidak majoriti.

“Sebab itu saya sarankan – selepas kita kekang Covid-19, kita fikir-fikirkan supaya kita dapat semula mandat dari rakyat, biar rakyat pastikan kejaan yang ditubuhkan ialah kerajaan yang dapat mandat dan majoriti selesa supaya boleh tumpu sepenuh perhatian bina semula negara,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.