Home Politik Jika pilih calon bebas umpama beri talian hayat kepada Dr Mahathir

Jika pilih calon bebas umpama beri talian hayat kepada Dr Mahathir

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (tengah) bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kiri) pada program Pemimpin Bersama Masyarakat sempena Pilihan Raya Kecil N.23 Chini di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 27 JUN 2020

CHINI – Pengundi Chini tidak boleh memberi kemenangan kepada calon bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin yang menjadi proksi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, sekiranya Zainul Hisham menang di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chin, ia akan memberikan isyarat bahawa Dr Mahathir masih diterima selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari lalu.

“Calon bebas Tengku Zainul Hisham merupakan calon yang secara terbuka disokong oleh Tun Dr Mahathir jadi ini merupakan satu signal yang cuba tunjukkan bahawa jika dia menang di sini.

“Ini bermakna dia masih diterima oleh rakyat sebab itu pengundi-pengundi di sini mesti pastikan calon kita menang besar supaya kita beri signal kepada Dr Mahathir bahawa dia ditolak untuk menjadi Perdana Menteri kali ketiga,” katanya katanya dalam Ceramah Muafakat Demi Kestabilan – Pemimpin Bersama Rakyat di Bandar Dara, Chini semalam.

Hadir sama adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Sharil Hamdan, dan veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) diiringi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) semasa hadir pada program Pemimpin Bersama Masyarakat sempena Pilihan Raya Kecil N.23 Chini di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 27 JUN 2020

Mengulas lanjut, Menteri Kanan (Keselamatan) itu berkata kemenangan calon bebas itu juga akan menjadi talian hayat buat Dr Mahathir untuk kembali mengintai kerusi Perdana Menteri untuk kali ketiga.

“Dia cuba meletakkan calon dia di sini dengan harapan kalau cara dia menang maka dialah mempunyai harapan untuk kembali menjadi Perdana Menteri yang kali ketiga ketika umur 95 tahun atau 96 tahun,” ujar Ismail lagi.

Sebelum ini Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi secara terbuka menyatakan sokongan terbuka kepada Zainul Hisham yang bertanding di PRK Chini.

Jelasnya, Zainul Hashim yang sebelum ini berjawatan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pekan adalah pilihan terbaik dalam pertandingan tiga penjuru itu pada 4 Julai depan. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Siapa pilih calon bebas bersetujulah madey kata melayu malas dan bersetuju untuk puak ph memporak peranda negara lagi itu saja.

  2. Orang bodo ja yg sokong perasuah kleptro…. Hanya undi orng yg berintegriti akan pilih pilihan TUN

Comments are closed.