Home Ekonomi Pelabur asing kekal sebagai penjual bersih minggu lalu

Pelabur asing kekal sebagai penjual bersih minggu lalu

Mohd Afzanizam Abdul Rashid

KUALA LUMPUR – Dana asing kekal sebagai penjual bersih minggu lepas, dengan aliran keluar berjumlah RM444.92 juta dari Isnin hingga Khamis.

Ini, bagaimanapun, kurang daripada jumlah dalam tempoh sama pada minggu sebelumnya (15-18 Jun) sebanyak RM445.35 juta.

Sebaliknya, runcit dan institusi tempatan mencatatkan belian bersih sebanyak RM444.91 juta.

Ketua Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, dilihat terdapat sentimen penghindaran risiko berikutan peningkatan jumlah jangkitan baharu COVID-19 baru-baru ini di Amerika Syarikat (AS).

Pada masa sama, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menurunkan unjuran mereka untuk penguncupan global daripada 3.0 peratus, yang dibuat pada April, kepada -4.9 peratus pada 2020.

Indeks Volatiliti CBOE yang berpangkalan di Chicago turut meningkat kepada 34.73 mata pada Jumaat lepas, menunjukkan keresahan pasaran mengenai berita terkini berhubung kadar jangkitan COVID-19 yang lebih tinggi.

Mohd Afzanizam berkata kebimbangan utama adalah ia boleh menjejaskan pembukaan semula ekonomi yang telah dilaksanakan sejak Mei.

Mengenai masa depan, katanya pasaran akan memberi tumpuan kepada tahap peningkatan kes COVID-19 baharu dan bagaimana ia akan berkembang, terutamanya berkaitan dengan pembukaan semula ekonomi.

“Data Indeks Pengurus Pembelian (IPP) menggalakkan dan ia belum mengambil kira peningkatan baru-baru ini. Oleh itu, peserta pasaran dijangka terus berhati-hati minggu depan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) telah diperbetulkan dengan agak ketara berdasarkan ia merosot di bawah purata pergerakan 200 hari.

“Mungkin pasaran cuba melihat sama ada peningkatan jumlah jangkitan baharu baru-baru ini di AS boleh menjejaskan pembukaan semula ekonomi mereka.

“Oleh itu, FBM KLCI dijangka diniagakan dalam jajaran kecil antara 1,480 dan 1,490 mata. Data adalah menggalakkan seperti IPP Komposit AS, yang meningkat kepada 46.8 mata pada Jun daripada 37 mata pada Mei,” katanya.

Begitu juga di United Kingdom dan Zon Euro, IPP Komposit, masing-masing naik kepada 47.6 mata (Mei: 30.0) dan 47.5 mata (Mei: 31.9) pada Jun.

Tuntutan Pengangguran Awal AS dapat memberi gambaran mengenai keadaan ekonomi dan data terkini menunjukkan tuntutan pengangguran lebih tinggi daripada anggaran konsensus bagi minggu berakhir 19 Jun. – MalaysiaGazette