Home Nasional Usul singkir Speaker elak undi tidak percaya PM – Vui Keong

Usul singkir Speaker elak undi tidak percaya PM – Vui Keong

KUALA LUMPUR – Usul bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof dan Nga Kor Ming, masing-masing yang merupakan Speaker dan Timbalan Speaker yang akan dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai pelanggaran Perlembagaan Persekutuan.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong yang terkejut dengan ura-ura usul tersebut berkata, perkara itu tidak pernah dibuat sebelum ini kerana ia merupakan campur tangan eksekutif dalam urusan legislatif negara.

“Ingat ya, doktrin pemisahan kuasa dengan jelas menyatakan yang kksekutif iaitu kerajaan, legislatif (Parlimen) dan kehakiman (mahkamah) adalah tiga organ berbeza negara yang bebas antara satu sama lain.

“Sebenarnya, satu organ tidak boleh dengan mudah masuk campur urusan organ lain. Malaysia mengamalkan doktrin ini, sekiranya mana-mana satu organ masuk campur urusan organ lain, ia adalah tindakan yang tidak mengikut perlembagaan.

“Jelas sekali pelanggaran terang-terangan dan pengabaian doktrin pemisahan kuasa yang merupakan semangat Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Vui Keong turut mempersoalkan adakah usul menyingkirkan Mohamad Ariff dan Kor Ming dibuat untuk mengelak usul tidak percaya terhadapnya sebagai Perdana Menteri.

“Muhyiddin sebenarnya cuba mengelak usul tidak percaya terhadapnya di Parlimen dengan menggunakan kapasitinya sebagai Perdana Menteri untuk menyingkirkan Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

“Usul ini mempunyai kepentingan peribadi dan berniat jahat cuba dilakukan oleh Muhyiddin,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Usul tukar Speaker, undi tidak percaya dan percaya pada 13 Julai